DOHA: Stesen televisyen Al Jazeera pada Ahad menolak dakwaan Israel bahawa salah seorang jurukamera yang terbunuh di Gaza, Palestin sehari sebelumnya merupakan anggota Hamas.
Rangkaian media berpangkalan di Qatar itu berkata dalam satu kenyataan bahawa ia mengutuk tuduhan tidak berasas tentera pendudukan Israel, yang bertujuan untuk mewajarkan jenayah terhadap wartawan dan jurukamera Al Jazeera di Gaza.
Jurukamera itu, Ahmed Wishah terbunuh dalam satu serangan tepat bersama dua anggota Hamas lain , kata tentera Israel.
Ia berkata, beliau berkhidmat sebagai operatif penembak tepat dalam Hamas.
“Selain daripada kerjanya sebagai jurugambar video Al Jazeera sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Wishah merupakan anggota sayap tentera Hamas,” kata tentera Israel.
Tentera Israel tidak memberikan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.
Rakaman AFP yang dirakam di Deir el-Balah di tengah Gaza menunjukkan rakan dan ahli keluarga meratapi jenazah Wishah di Hospital Al-Aqsa.
Jurukamera itu dilihat terbaring di atas dulang besi di bilik mayat hospital bersama beberapa jenazah lain.
Bilal Abu Samak, seorang wartawan bebas di Gaza berkata, pembunuhan itu mengejutkannya.
“Untuk kali pertama, saya tidak mampu merakam. Pendudukan secara sengaja membunuh wartawan dan sesiapa yang membuat liputan di lapangan,” katanya.
Dalam kenyataan Ahad, Al Jazeera berkata kempen provokasi Israel telah secara berterusan menyebarkan tuduhan palsu dan dakwaan tidak berasas terhadap kakitangan Al Jazeera.
Rangkaian itu menyifatkan usaha tersebut sebagai kempen fitnah dan cubaan sia-sia untuk mewajarkan sasaran secara sengaja terhadap wartawan dan jurukamera.
“Cubaan ini tidak menipu sesiapa,” tambahnya.
Pada Sabtu, Al Jazeera melaporkan Wishah terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah rumah di kem pelarian Bureij.
Abang Ahmed Wishah, Mohammed Wishah, yang juga wartawan Al Jazeera, terbunuh akibat bedilan Israel pada April, kata penyiar Qatar itu sebelum ini.
Menurut kumpulan kebebasan media Reporters Without Borders, lebih 220 wartawan telah terbunuh oleh tentera Israel sejak perang di Gaza bermula. Sekurang-kurangnya 70 daripadanya terbunuh ketika menjalankan tugas kewartawanan.
Tentera Israel berkata ia tidak sengaja menyasarkan wartawan. – AGENSI/AFP











