Sabrina Soobri cipta fenomena dengan menjual kek - Utusan Malaysia

Sabrina Soobri cipta fenomena dengan menjual kek

Dugaan dibuang kerja sewaktu PKP telah menarik ramai golongan professional membuat jualan ratusan ribu dan jutaan ringgit dengan hanya menjual kek.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hanya dengan menjual kek, siapa sangka Siti Noor Sabrina Soobri mampu mencipta fenomena dan bergelar jutawan.

Mengenali sosok di sebalik nama ini, Sabrina, asalnya bekerja sebagai juru x-ray selama sedekad di sebuah kolej perubatan sebelum terlintas memulakan perniagaan sendiri.

Minat menyediakan pastri merupakan titik tolak awal kepada minatnya mencetuskan perniagaan bakeri, Mamasab di bawah syarikat Mamasab International Sdn Bhd.

Bermula dengan berniaga di rumah secara kecil-kecilan di Taman Medan, Petaling Jaya (PJ), jenama itu akhirnya memiliki cawangan pertama juga terletak di kawasan sama pada 2017.

Setakat ini, jenama milik bumiputera itu sudah memiliki 151 ribu ejen berdaftar dari seluruh negara. Selain pejabat urusan berpengkalan di PJ, lima kilang termasuk di ibu kota, Johor dan Kelantan menjadi mercu tanda kejayaan.

“Awalnya ia bermula dengan rangkaian 10 inovasi produk bakeri termasuk manisan seperti brownies, durian crepe dan combo bar. Tapi syukur kini, sudah lebih 50 produk dihasilkan termasuk kecantikan.

“Sebelum bertukar nama Mamasab pada 2018, nama asal perniagaan saya ialah Sabrina Bakery. Saya sendiri tak pernah terfikir mampu bergelar jutawan dan berkongsi rezeki itu dengan ramai orang.

“Saya pun bukan datang daripada keluarga yang bertunjangkan perniagaan. Hanya orang kampung biasa-biasa saja. Saya tak pernah terfikir meninggalkan kerjaya juru X-ray membuka laluan rezeki besar,” katanya.

Kata Sabrina, nama perniagaannya terbit hasil hubungan baik dengan ejen.

“Pelanggan dan ejen suka memanggil saya mama. Malah nama Sabrina juga dipendekkan menjadi Sab. Maka tercetuslah nama Mamasab. Saya ini umpama mak kepada ejen khususnya. Mereka umpama anak saya.

“Panggilan dan nama itu yang buat hubungan terjalin jadi lebih akrab. Ia tidak semata-mata hubungan pengasas produk dan ejen. Sebarang masalah berbangkit membabitkan ejen, saya selesa bawa ia ke meja perbincangan.

“Macam kita selesaikan hubungan dalam kekeluargaan. Hubungan akrab itu juga antara intipati dan kekuatan. Ia sangat manis, saya sama-sama mahu ejen juga bina kejayaan dan bangkit dari apa saja yang menjatuhkan,” katanya.

Pengasas Mamasab Siti Noor Sabrina Soobri

Katanya lagi, pandemik Covid-19 yang melanda dua tahun lalu turut membantutkan perniagaannya.

“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketatkan, memang jualan merudum. Hingga ejen saya terganggu emosi dan berdepan isu kesihatan mental. Ketika itu, sebagai ibu, saya beri sokongan moral kepada ejen supaya lebih kreatif.

“Saya memberi dorongan di saat ejen berada di tahap paling bawah dalam hidup mereka,” katanya.

Tambah ibu kepada empat cahaya mata ini lagi, sebagai pengasas produk dia perlu sentiasa kreatif dan inovatif.

“Lalu terhasillah inisiatif mewujudkan sistem mini hub untuk berniaga secara offline. Selama ini termasuk waktu PKP, perniagaan 100 peratus berpaksikan dalam talian.

“Tapi saya sedar ada ejen yang tidak pandai berniaga secara online. Ada yang segan nak buat lintas langsung atau bercakap depan kamera. Pendek kata skil mereka terbatas.

“Mini hub ini membantu ejen saya berniaga offline dan ia sebagai alternafif. Mini hub ini boleh dibuka di mana-mana tempat, rumah atau kedai bersesuaian dengan bermodalkan RM400 sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN