Rundingan kerusi PH: DAP ingatkan PH usah ada sifat pembuli - Utusan Malaysia

Rundingan kerusi PH: DAP ingatkan PH usah ada sifat pembuli

ANTHONY Loke berucap pada Kongres Khas DAP 2022 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: DAP mengingatkan parti komponen Pakatan Harapan supaya tidak mempunyai ‘sifat pembuli’ berkaitan rundingan kerusi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, sikap itu penting supaya pakatan itu terus kukuh terutamanya untuk berhadapan dengan pilihan raya umum.

Bagaimanapun katanya, rundingan pengagihan kerusi itu kini sedang rancak diadakan setiap minggu dengan disasarkan untuk diselesaikan secepat mungkin.

“Dalam soal pengagihan kerusi, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sering menceritakan ketika mereka masih lagi parti baru sebelum ini dan berdepan dengan dua parti bersejarah iaitu Pas dan DAP, pengagihan kerusi dapat diselesaikan dengan nasihat Presiden Pas ketika itu Fadzil Muhammad Noor. Ustaz Fadzil kata yang dalam proses rundingan mesti ada semangat give and take dan yang meminta janganlah tamak, yang memberi jangan kedekut.

“Jadi ini nasihat kepada orang muda-muda, terutamanya kepada Steven Sim yang mengetuai DAP dalam pengagihan kerusi. Kita mesti berlapang dada.

“Dalam PH (juga) jangan ada sifat membuli antara satu sama lain, kita hormat menghormati tak kira tua atau muda, kita mesti ada hati besar. PH bukannya pembuli, kita mahu supaya PH kukuh kuat dan masuk pilihan raya sebagai satu pasukan yang bersatu padu,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Kongres Khas DAP 2022 di Pusat Konvensyen (IDCC) di sini.

Anthony Loke berkata, DAP masih lagi belum membuat sebarang keputusan berkaitan pemilihan calon dalam mengorak strategi ke arah pilihan raya umum.

Namun katanya, parti itu memberi jaminan untuk tidak melupakan peranan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dan wanita.

“Peluang sudah tentu akan diberi kepada calon muda yang akan menjadi pelapis kepada kepemimpinan parti terutamanya di peringkat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Bukannya tak ada calon muda di Parlimen, tetapi lebih banyak peluang akan diberikan kepada peringkat negeri supaya menjadi tempat latihan kepada mereka menjadi pemimpin negeri dan selepas itu akan diangkat sebagai pemimpin peringkat kebangsaan,” katanya.

Jelas beliau, DAP sememangnya amat bangga dengan prestasi dan kebolehan terutamanya wanita sama ada di Parlimen atau DUN.

Jelasnya, ini kerana peranan wanita dalam DAP akan terus diperkasa dalam memainkan peranan penting untuk memacu kejayaan parti.

“Kita ada ramai tokoh wanita yang begitu lantang bersuara di Parlimen, yang tunjuk prestasi begitu baik bukan saja dalam Dewan Rakyat, tetapi di kawasan masing-masing.

“Kita adalah sebuah parti yang menghormati kesaksamaan jantina, kita akan mengambil perhatian dan pertimbangan sewajarnya dalam meletakkan calon-calon daripada kaum wanita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN