RM8 juta libatkan 160 daerah siap siaga bencana monsun 

RM8 juta libatkan 160 daerah siap siaga bencana monsun 

ISMAIL Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) hari ini. - PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM8 juta untuk Pengurusan Pengoperasian Bencana Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023 kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk kegunaan 160 daerah. 

Perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

JPB Daerah (JPBD) diaktifkan segera dan peranannya di semua lokasi bencana diperkasa sebagai langkah utama kesiapsiagaan bencana dijangka berlaku November ini.

JPBD mempunyai fungsi penting untuk melaksanakan kerja-keja menyelamat serta penyampaian bantuan di lokasi bencana manakala Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan JPBN menyelaras di peringkat Pusat serta negeri.

Perdana Menteri berkata, secara keseluruhannya, seramai 79,549 pegawai dan anggota agensi keselamatan serta penyelamat di semua peringkat berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya dengan sokongan pelbagai aset.

Bagi aspek pengurusan mangsa, jelas beliau, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersiap sedia untuk mengaktifkan 6,010 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara yang mempunyai kapasiti menempatkan 1,620,855 mangsa.

Menurut beliau, kerajaan pada masa sama memperuntukkan sebanyak RM2.59 juta untuk menaik taraf kemudahan asas dan fasiliti di semua PPS seperti penyediaan bilik mandi serta tandas.

“Kementerian Pendidikan diarah supaya asrama-asrama sekolah yang tidak dihuni pelajar ketika bencana berlaku digunakan orang ramai yang terjejas khususnya untuk memberi keselesaan kepada warga emas, anak-anak kecil dan wanita.

“JKM juga perlu menyediakan makanan retort dalam tempoh 24 jam pertama, keperluan bayi dan warga emas seperti lampin pakai buang untuk mangsa bencana yang dipindahkan ke PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, Nadma juga mengagihkan sebanyak 59,350 kit makanan dan 127,272 cubicle tent bagi memastikan kelancaran pengurusan penempatan di PPS dan kebajikan mangsa apabila berlakunya bencana.

Pada masa sama, katanya,  JPBN dan JPBD perlu bersedia lebih awal bagi memastikan bantuan bekalan sampai di semua lokasi yang terlibat bagi mengelakkan keadaan lebih sukar sekiranya jalan terputus dan sebagainya.

Kerajaan turut memperuntukan sebanyak RM4.8 juta bagi menyediakan 320 buah bot fiber bersama dengan enjin untuk daerah-daerah terbabit sebagai usaha memperkasa peranan komuniti sebagai initial responder ketika berlakunya bencana. 

“Kerajaan juga menggerakkan 22,622 aset air seperti bot, treler bot dan jet ski milik semua agensi dari seluruh negara untuk menghadapi musim monsun ini. 

Semua aset-aset ini perlu dikoordinasi dengan sebaik mungkin supaya kerja-kerja menyelamat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya. 

Mengulas lanjut,  kata Perdana Menteri, JPBN dan JPBD juga perlu memastikan sistem amaran awal bencana terutama di lokasi yang sering dinaiki air berfungsi dengan baik. 

Mesyuarat juga bersetuju supaya bunyi amaran awal berbeza dengan bunyi siren yang lain seperti ambulans dan kereta peronda polis bagi mengelakkan kekeliruan selain  pengumuman berpindah dibuat oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa melalui sistem pembesar suara.

“Seluruh Keluarga Malaysia khususnya yang tinggal di kawasan rendah dan terdedah dengan risiko banjir diminta supaya sentiasa peka dengan amaran awal bencana dan berpindah dengan kadar segera sekiranya mendapat arahan daripada pihak berkuasa.

“Semua agensi terlibat khususnya di peringkat negeri dan daerah (lokasi bencana) diarah supaya memastikan kelancaran bantuan kepada Keluarga Malaysia yang terjejas dengan penyelarasan komunikasi yang cekap dan efisien,” katanya.

Menurut laporan kesiapsiagaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), fasa peralihan Monsun akan bermula pertengahan bulan ini sehingga November, manakala MTL 2022/2023 bermula November depan hingga Mac 2023.

Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun bermula November hingga Disember 2022, manakala Johor, Sabah dan Sarawak dijangka berhadapan hujan lebat monsun bermula Disember 2022 hingga Januari 2023.

Dalam usaha memantapkan kesiapsiagaan Keluarga Malaysia, sebanyak 155 program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) yang melibatkan 12,534 perserta yang terdiri daripada ketua-ketua komuniti, belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN