KOTA TINGGI: Seorang remaja perempuan dikhuatiri lemas, dua tidak sedarkan diri manakala tiga lagi terselamat ketika mandi-manda di Pantai Tanjung Balau pagi ini.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, PBK II Mohd. Hazmi Zulkafli berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 8.39 pagi dan menghantar 10 anggota ke lokasi kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat enam orang mangsa berusia 12 hingga 14 tahun melibatkan lima remaja perempuan dan seorang remaja lelaki telah lemas ketika sedang mandi di pantai.
“Tiga orang mangsa telah diselamatkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai, dua mangsa telah dijumpai oleh pihak bomba dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala seorang mangsa remaja perempuan berusia 13 tahun masih tidak dijumpai.
“PKO bertindak membawa naik dua orang mangsa yang tidak sedarkan diri dan memberikan rawatan awal bantuan pernafasan seterusnya menghantar ke Klinik Kesihatan Penawar dengan menggunakan jentera EMRS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tiga mangsa yang selamat juga telah dibawa ke klinik dengan menaiki ambulans.
Operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa yang masih belum dijumpai giat dijalankan dengan menggunakan kaedah ‘surface searching’ pada jarak lebih kurang 80 meter dari pesisiran pantai. – UTUSAN