KUALA NERUS: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan rakan sejawatnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak keseorangan dalam memilih Terengganu FC (TFC) sebagai calon juara Piala FA musim ini.
Beliau berkata, lebih ramai ketua kerajaan negeri-negeri lain turut sama menyuarakan sokongan kepada TFC untuk membenam Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi final, Sabtu ini.
Menurutnya, sokongan itu dizahirkan ketika pertemuan dengan rakan sejawatnya itu baru-baru ini.
“Ketika bertemu rakan-rakan Menteri Besar, ramai yang menyatakan dan memberi sokongan padu mereka kepada TFC untuk aksi final nanti.
“Mereka ada sebab-sebab yang tersendiri mengapa memilih untuk menyokong TFC. Saya juga akan hadir ke stadium dan meramalkan keputusan 2-1 berpihak TFC,” katanya ketika ditemui di sini.
Semalam, Muhammad Sanusi mencuri tumpuan ramai apabila menyatakan akan memberi sokongan kepada TFC untuk menewaskan JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
Turut tular sebuah video di media sosial memaparkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu menyarung jersi tradisi hitam putih TFC sebagai tanda sokongan.
Muhammad Sanusi berkata, dia memilih untuk menyokong TFC kerana Terengganu adalah negeri kelahiran isterinya. – UTUSAN