Raja Muda anjur Jelajah Selangor 600 - Utusan Malaysia

Raja Muda anjur Jelajah Selangor 600

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bestari Jaya : Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menganjurkan program jelajah berbasikal, Jelajah Selangor 600 sambil beramal sempena sambutan Hari Malaysia 2022.

Melalui program tersebut, sebanyak sembilan daerah di Selangor dengan jarak sejauh 600 kilometer telah dipilih sebagai lokasi jelajah yang bermula pada 6 September 2022 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan berakhir di Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya 10 September lalu.

Program ini telah diilhamkan oleh Raja Muda dan menyaksikan tahun kedua ia diadakan pada tahun ini sebagai satu inisiatif baginda untuk mendekati rakyat dan membantu komuniti yang memerlukan melalui penyerahan sumbangan selain menjelajah secara berbasikal ke tempat-tempat menarik sekitar Selangor.

Antara lokasi menarik di sepanjang perjalanan adalah seperti kawasan sawah padi, lokasi bersejarah, kilang kopi Selangor, perkampungan orang asli dan pelbagai lagi.

Jelajah Selangor 600 ini juga berteraskan aspek pembangunan belia dengan mengetengahkan barisan atlet muda yang juga merupakan atlet berbasikal negeri Selangor iaitu Muhamad Qayyim Mohd Saipul Anuwai; Zamirul Azrezza Zulkefli; Muhamad Iqbal Zuraini dan Muhammad Adam Haiqal Mohd Shairul Faizal.

Atlet-atlet muda ini telah diiringi oleh Pembantu Jurulatih bahagian Pembangunan Persatuan Berbasikal Negeri Selangor, Muhamad Rauf Nur Misbah sepanjang tempoh jelajah.

Di bawah aspek komuniti pula, terdapat lebih 6 buah pusat komuniti yang diberikan bantuan dalam pelbagai bentuk seperti barangan keperluan, set hidroponik, kelengkapan sukan dan juga set komputer sepanjang 5 hari jelajah berbasikal ini berlangsung.

Antara pusat kebajikan yang menerima sumbangan adalah Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Baitul Barokah Wal Mahabbah di Sepang, Asrama Baitul Rahmaniah di Hulu Selangor, Pusat Kebajikan Warga Emas (Cina) dan Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Sabak Bernam, Pertubuhan Kebajikan Ehsan As-Shakur dan Pertubuhan Kebajikan Ephrata di Rawang.

Pasukan Jelajah Selangor 600 bersama Raja Muda juga telah memberikan sumbangan kepada beberapa pertubuhan kebajikan di sekitar Rawang [ada hari terakhir program dijalankan.

Antara bantuan yang disampaikan adalah sumbangan wang dan barangan bernilai RM20,000.00 untuk rumah-rumah yang dipilih, tajaan daripada Selangor Youth Community (SAY), Yayasan Raja Muda Selangor dan Worldwide Holdings Berhad.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN