KANGAR: Meskipun agak menyepi dalam politik sejak kebelakangan ini, namun masih terdapat desakan akar umbi yang berharap Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kekal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, Wan Azizah yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri mempunyai karisma dan aura tersendiri untuk terus kekal dalam politik di negara ini.
Katanya, terdapat usaha dilakukan Ahli Parlimen Pandan itu membuahkan hasil terutamanya golongan wanita mendapat manfaat daripada tindakan yang dilakukannya.
“Terdapat desakan ramai dan juga ahli supaya beliau (Wan Azizah) terus bersama PKR lebih-lebih lagi dalam PRU15 akan datang. Ini kerana peranan dan sosok tubuh istimewa beliau sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri yang sentiasa membawa kepada agenda pemerkasaan wanita secara keseluruhannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Santai Ngopi bersama ahli parti di Haus Burger, Taman Muhibbah di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi PKR negeri, Noor Amin Ahmad; Naib Pengerusi PKR negeri, Amran Kamarudin, Gan Ay Ling dan Asrul Nizan Abd. Jalil serta Ketua Penerangan PKR negeri, Nor Azam Karap.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai desas-desus kerusi Parlimen Pandan yang disandang Wan Azizah akan diserahkan kepada Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam PRU15.
Sementara itu, Nurul Izzah berharap pimpinan parti terutamanya akan memberi ruang kepada figura-figura yang menjadi inspirasi rakyat ini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memberitahu, senarai calon Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding akan cuba dimuktamadkan menjelang 30 September ini dan buat masa ini masih belum ada kata putus.
“Buat masa ini, kami mengambil pendekatan seperti tentera yang bersedia untuk ditempatkan di mana-mana serta akur kehendak parti walaupun mempunyai kawasan kegemaran sendiri,” jelasnya.
Menyentuh mengenai tanggungjawabnya sebagai Pengerusi PKR negeri, Nurul Izzah berkata, beliau akan mengangkat dan memaksimumkan potensi pimpinan tempatan yang berbakat.
“Saya berharap agar pemimpin di negeri ini terus bekerja keras dan jalinan dengan masyarakat dipertingkatkan kerana Perlis mempunyai potensi besar namun kadang-kala terpinggir dengan negeri-negeri utara lain,” katanya. – UTUSAN