ALOR SETAR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sedia mempertahan kenyataan kontroversinya berhubung rasuah di mahkamah.
Ini selepas beliau bertemu polis di Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung kenyataannya baru-baru ini.
“Saya dah ke Bukit Aman. Walaupun ditawarkan ke pejabat saya, saya pilih ke Bukit Aman untuk berjumpa polis.
“Saya disoal dan sudah jawab soalan, selanjutnya saya akan jawab di mahkamah. Kalau dipanggil polis, saya akan pergi lagi,” katanya pada sidang media Muktamar Pas Ke-68, di sini hari ini.
Dalam catatan Minda Presiden Pas berjudul ‘Hapuskan Pemberi Rasuah’ yang dimuat naik pada 20 Ogos lalu, Abdul Hadi mengundang kontroversi apabila mendakwa golongan bukan Islam dan bukan bumiputera adalah kumpulan majoriti perosak politik dan ekonomi negara.
Dakwaan itu menyebabkan 28 laporan polis dibuat terhadap Ahli Parlimen Marang itu.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian. – UTUSAN