Polis tahan wanita disyaki dera amah Indonesia 

Polis tahan wanita disyaki dera amah Indonesia 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan seorang wanita yang disyaki mendera wanita warga Indonesia yang juga pembantu rumahnya di sebuah rumah Batu Caves dekat sini, kelmarin.

Tangkapan dibuat ke atas suspek berusia 35 tahun itu susulan aduan diterima polis daripada mangsa, Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata,  mangsa melarikan diri sebelum tampil membuat laporan pada pukul 5 petang di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Katanya, mangsa memaklumkan didera secara fizikal oleh majikannya yang juga sepasang suami isteri di sebuah rumah di Batu Caves.

“Hasil siasatan mendapati mangsa mula bekerja dengan pasangan suami isteri itu pada Oktober 2019 dan sejak itu sering dipukul,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambah Noor Ariffin, berikutan itu, pihaknya menahan suspek, kelmarin dan kini direman hingga esok untuk membantu siasatan.

“Mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Selayang untuk pemeriksaan dan pemerhatian lanjut oleh pegawai perubatan. 

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 13 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

Noor Ariffin berkata, polis sedang melengkapkan siasatan bagi kes ini dan berkerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM.

Katanya, ini bagi memastikan siasatan lengkap dari pelbagai sudut bagi tujuan pendakwaan ke atas suspek. 

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes ini untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Mohd Reezal Mohammad @ Mohd Zain di talian 03-6126 2222 atau 013-3479809.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S. Saravanan mendedahkan, pihaknya dimaklumkan mengenai kes berkenaaan, justeru pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang bentuk kekerasan dan penindasan terhadap pekerja tidak kira warga tempatan mahupun asing kerana ia menjejaskan imej negara.

Beliau memberi amaran identiti majikan yang disyaki menindas dan mendera pekerja termasuk pekerja asing akan didedahkan kepada umum selain diambil tindakan mengikut undang-undang sewajarnya.

Kata beliau, tindakan tegas akan diambil sekiranya majikan didapati gagal mematuhi perundangan perburuhan termasuk perbuatan yang bercanggah dengan elemen-elemen buruh paksa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN