KOTA BHARU: Polis menahan seorang lelaki kurang siuman yang bertindak membaling objek ke arah pengguna jalan raya di persimpangan lampu isyarat di Jalan Hamzah di sini, pagi tadi.
Suspek itu ditahan pada pukul 8.40 pagi oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Kota Bharu yang telah terserempak dengan lelaki berkenaan semasa melakukan rondaan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, semasa ditahan berlaku pergelutan antara suspek dengan anggota bertugas sehingga menyebabkan insiden membaling batu.
Menurutnya, sejurus ditahan anggota bertugas telah membawa suspek ke hospital untuk tindakan lanjut.
“Sebelum itu, anggota bertugas telah mengambil tindakan drastik dengan melakukan pemerhatian di lokasi tersebut. Hasil pemerhatian selama 30 minit di sekitar kawasan lampu isyarat dari arah Kijang menghala ke Lembah Sireh mendapati tiada kelibat lelaki tersebut.
“Rondaan berkala kemudian teruskan selepas itu untuk menangkap suspek, hasilnya tangkapan berjaya dilakukan pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini tular video seminit 22 saat melibatkan seorang lelaki kurang siuman membaling tong sampah ke arah jalan yang hampir mengenai penunggang motosikal. – UTUSAN