PETALING JAYA: Polis meminta kerjasama pelakon, Lufya Omar bagi siasatan kes cubaan culik anak perempuannya pada 26 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sehingga kini pihaknya belum merakam keterangan wanita itu.
“Kita masih menunggu kerjasama beliau (Lufya) dan perlu mengambil keterangan anaknya berkaitan kejadian berdasarkan laporan polis dibuat pada Jun.
“Malah, kanak-kanak itu perlu dirujuk kepada Child Interview Center (CIC) untuk diambil keterangan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.
Jun lalu, Lufya mendakwa seorang lelaki cuba menculik anak perempuannya, Laana Haura ketika berada di taman permainan rumah mereka di Kota Damansara di sini.
Lufya atau nama penuhnya, Lutfyah Sheikh Omar bersyukur anak dan dirinya selamat, namun dia cedera di muka mendakwa telah dipukul menggunakan batang kayu.
Wanita itu membuat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Kota Damansara kira-kira pukul 6 pagi pada 29 Jun lalu. – UTUSAN