JOHOR BAHRU: Polis Johor menggerakkan pelbagai aset miliknya bagi membantu agensi-agensi kerajaan berkaitan berdepan kemungkinan banjir ekoran musim tengkujuh akhir tahun ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, antara aset yang digerakkan termasuk 15 buah bot, keperluan anggota dan pelbagai jentera lain.
“Polis Johor telah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir. Pelbagai agensi kerajaan juga mempunyai kerjasama yang baik kerana telah berdepan situasi sama sebelum ini.
“Orang ramai dinasihatkan untuk patuhi arahan dan mendapatkan maklumat tentang cuaca semasa daripada jabatan kaji cuaca, polis dan agensi lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Sementara itu, Kamarul Zaman turut memberitahu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor akan melupuskan dadah bernilai RM6.11 juta melibatkan kes-kes yang telah selesai bicara dan dijatuhkan hukuman dari 2002 hingga tahun lalu.
Menurutnya, pelupusan melibatkan pelbagai jenis dadah seberat 301.54 kilogram (kg) dan 642.37 liter itu akan dilaksanakan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.
“Antara dadah dilupuskan termasuk heroin seberat 41.79 kg, kanabis (20.21kg), ketamin (2.49kg), metamfetamin (9.90kg), methylenedioxy methamphetamine (25.45kg) dan daun ketum (192.03kg) selain pelbagai jenis dadah (9.65kg dan 642.37 liter).
“Tahun lalu, JSJN Johor telah melupuskan dadah yang dirampas, iaitu 1,765 kg dan 3,717 liter yang dianggarkan bernilai RM28.91 juta,” katanya.- UTUSAN










