Pimpinan, ahli Pas perlu solat sunat istikharah pilih MN atau PN

Pimpinan, ahli Pas perlu solat sunat istikharah pilih MN atau PN

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seluruh ahli dan pimpinan Pas perlu melakukan solat sunat istikharah bagi memilih antara gabungan Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, jika mahu terus bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), keutamaan itu perlu segera diputuskan Pas.

Beliau berkata, Pas juga harus menghormati kepemimpinan UMNO yang dipilih ahli akar umbi parti itu jika mahu meneruskan kerjasama. 

“Pas tidak boleh terus bermain ‘dua kolam’ kerana UMNO seperti diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO jelas, tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRU15.

“Ini keputusan dasar parti yang dibuat pada peringkat tertinggi parti, iaitu perhimpunan agung dan ia perlu dihormati oleh Pas jika mahu terus bekerjasama dengan UMNO di bawah gagasan MN.

“Pas telah pun ‘berkahwin’ dengan Bersatu di bawah PN dan kini mahu ‘berpoligami’ pula dengan UMNO, apa sebenarnya pendirian Pas? Pilih PN ataupun MN pada PRU15?,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Mohd. Sharkar yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh berpandangan. Bersatu juga enggan bekerjasama dengan UMNO kerana apa diinginkan parti itu adalah ‘khemah besar’ melibatkan semua parti termasuk PH.

“Jadi, segerakan solat sunat istikharah dan pilih antara MN atau PN. Janganlah Pas mahu terus bermain dua kolam demi memastikan kerusi dimenanginya pada PRU14 lalu selamat pada PRU15.

“Jika Pas benar-benar ikhlas mahu bekerjasama dalam gagasan MN yang boleh dikatakan telah pun ‘bercerai’, segera pilih antara MN atau PN dan bersediakah Pas menggunakan logo BN pada PRU15?,” soalnya.

Beliau berkata, segala keputusan terserah kepada kepemimpinan Pas dengan tepuk dada tanya selera.

“BN dan UMNO kekal konsisten dengan keputusan dibuat dan bersiap sedia bergerak solo bagi menghadapi PRU15,” tegasnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN