SEREMBAN: Seramai 120 orang kepemimpinan empat parti yang membentuk Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR, DAP, Parti Amanah Negara dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini berkumpul di sebuah hotel di sini dalam sesi pemukiman gabungan parti itu.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, pemukiman yang berakhir petang ini tersebut akan memberi fokus 100 peratus dalam hal strategi PH untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Tambah beliau, sesi yang telah berlangsung sejak pagi tadi itu yang turut dihadiri oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagaimanapun tidak membincangkan soal pembahagian kerusi, calon mahupun mengenai permohonan penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ke dalam PH.
“Hari ini 30 orang kepemimpinan tertinggi empat parti, akan membincangkan fokus mengenai strategi menghadapi PRU15. Perbincangan hari ini lebih tinggi berbanding soal kerusi dan calon.
“Setiap parti membentangkan strategi masing-masing, bagaimana mahu menang, apa yang perlu diberikan tumpuan, bagaimana cara, menilai kelemahan, melihat keadaan lawan dan memahami pengundi.
“Soal calon dan pembahagian kerusi, perbincangannya memang sentiasa berjalan setiap minggu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Rafizi menjelaskan, isu penyertaan Muda juga tiada dalam agenda pemukiman PH hari ini dah menurut beliau perkara tersebut dijangka akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH kelak.
“Tidak membincangkan pasal Muda, tiada dalam agenda, sebab retreat ini dirancangkan sebelum saya kembali dalam politik, sudah dirancang sebelum isu permohonan Muda ini.
“Saya ingat soal Muda itu akan dibincangkan dalam (mesyuarat) Majlis Presiden yang akan ditentukan selepas ini,” katanya. – UTUSAN