Pesakit boleh tinggal di Hospital Rehabilitasi Cheras berbulan-bulan

Pesakit boleh tinggal di Hospital Rehabilitasi Cheras berbulan-bulan

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh tinggal di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) selama berbulan-bulan bergantung kepada jenis sakit dan rawatan yang dihadapi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, hospital tersebut biasanya membantu pesakit pulih daripada penyakit berkaitan strok, ortopedik atau yang mengalami kemalangan.

Justeru, katanya, adalah perkara biasa untuk seseorang pesakit yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dipindahkan ke HRC bagi menjalani pemulihan namun proses itu memakan masa yang lama hingga berbulan-bulan.

“HKL hanya terlibat dengan pembedahan dan sakit yang akut tetapi HRC adalah untuk pemulihan. Biasanya untuk pesakit strok, ortopedik atau mangsa kemalangan dan rawatan mereka mengambil masa berbulan-bulan.

“Kalau seseorang banduan perlu ke HRC, doktor pakar yang buat kesimpulan bahawa beliau perlu ke sana. Tetapi kalau bagi VIP seperti Najib, perlu ada ketelusan sama ada beliau benar-benar perlukan rawatan atau tidak,” katanya ketika dihubungi.

LEE BOON CHYE

Tambahnya, pesakit juga boleh dibenarkan untuk menjalani rawatan pemulihan di rumah bergantung kepada peralatan yang diperlukan.

“Ada pakar fisioterapi yang benarkan pesakit jalani proses pemulihan di rumah, tetapi ada juga yang perlu berada di hospital kerana mereka perlukan peralatan tertentu. Tetapi dalam kes Najib, dia boleh jalani rawatan pemulihan di penjara. 

“Dalam soal ini, perlu ada ketelusan supaya tidak timbul salah faham, salah tafsir yang mengatakan beliau cuba mengelak daripada jalani hukuman penjara,” katanya.

Jabatan Penjara mengesahkan Najib kini berada di HRC untuk menjalani rawatan lanjutan setelah berada HKL sebelum ini.

Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau.

HRC menyediakan perkhidmatan rehabilitasi pesakit luar selepas keluar dari hospital dan memberi kemudahan dalam menjalankan penilaian terhadap ketidakupayaan selepas sesuatu penyakit atau trauma.

HRC menyediakan enam jenis pemulihan dengan perkhidmatan pertama ialah rehabilitasi Neuro iaitu rawatan kepada pesakit yang mengalami kecederaan otak atau saraf merangkumi pesakit angin ahmar, kecederaan otak (TBI), sklerosis berganda, penyakit Parkinson, radang saraf tunjang, radang otak, penyakit saraf dan ketumbuhan otak.

HRC turut menumpukan rawatan pesakit yang mengalami kecederaan saraf tunjang dan komplikasi akibat kemalangan jalan raya, jatuh dari tempat tinggi serta keganasan akibat pukulan.

Rawatan pemulihan bertujuan mengembalikan pesakit ke tahap fungsi optimum dan merawat komplikasi dihadapi, dengan pesakit lazimnya mengalami tetraplegia (lumpuh seluruh badan) atau paraplegia (lumpuh paras pinggang ke bawah).

HRC juga menyediakan perkhidmatan rehabilitasi amputee iaitu pengkhususan membantu pesakit kudung kaki atau tangan, bagi membolehkan pesakit kembali berfungsi secara optimum.

Warga emas berusia 60 tahun ke atas akan diberi rawatan pemulihan geriatrik dan mereka yang dirawat berpotensi kembali ke tahap asap dengan kebanyakannya berkaitan penyakit neurologi dan ortopedik serta rehabilitasi kardio pulmonari, iaitu pesakit yang mengalami pintasan koronari stabil, infarksi miokardium akut, sindrom koronari akut dan penyakit halangan saluran pernafasan kronik.

FAHMI FADZIL

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil menepis dakwaan bahawa situasi Najib ketika ini sama seperti situasi yang dialami Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau menjalani hukuman penjara.

“Ketika Anwar dipenjara, beliau mengalami kecederaan di bahu kanan dan memerlukan proses pemulihan yang kerap, sebab itu beliau perlu ke HRC tetapi dalam kes Najib, kita perlukan penjelasan.

“Apa tahap sebenar kesihatannya, adakah dia benar-benar perlukan rehabilitasi, dakwaaan mengenai ubahsuai biliknya juga perlu dijelaskan, kalau tidak akan timbul fitnah, salah faham, persepsi, dipolitikkan,” katanya.

 

KHALID SAMAD

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad pula meminta pihak Jabatan Penjara dan Kementerian Dalam Negeri supaya tidak memberi sebarang layanan istimewa kepada Najib.

“Ia seolah-olah kerajaan tidak serius dalam menghukum orang yang terlibat dengan rasuah, nampak diberi layanan sangat-sangat istimewa. Menteri dan Kementerian Dalam Negeri kena tunjuk ketegasan sebagaimana mahkamah tunjuk ketegasan kepada Najib. Kita bantah sekeras-kerasnya jika benar layanan istimewa, jenayah beliau jauh lebih besar..patutnya dilayan sama seperti banduan lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya