REMBAU: Perkhidmatan perniagaan ‘pengalaman seram’ di Kampung Pulau Bongek di sini yang dijalankan sejak sebulan lalu diarahkan tutup selepas pihak berkuasa menerima aduan daripada penduduk.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, pihaknya telah mengarahkan penganjur ‘Misteri Trak Kuning’ itu untuk menutup segera perkhidmatan tersebut selepas menerima aduan orang awam terdapat gangguan melampau bunyi bising antara pukul 9 malam sehingga 1 pagi.
Menurutnya, gangguan yang dimaksudkan penduduk adalah bunyi jeritan pelanggan perniagaan tersebut hingga mengganggu masa rehat dan tidur penduduk kampung.
“Tempat perniagaan telah dilawati dan telah dinasihatkan untuk menghadkan kemasukan pelanggan, mengurangkan bunyi atau suara dari pembesar suara dan menghadkan waktu perniagaan sehingga pukul 12 tengah malam.
“Pada lawatan berkenaan, pemilik iaitu wanita berusia 26 tahun juga telah bersetuju mematuhi nasihat yang diberikan.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati perniagaan masih belum memperolehi apa-apa lesen atau permit hiburan daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pada 15 September lalu, polis telah menasihatkan pemilik perniagaan agar menutup sementara sehingga mendapat lesen atau permit perniagaan hiburan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Pemilik perniagaan akur dan tarikh akhir menjalankan perniagaan pada 16 September lalu,” katanya.
Terdahulu, sekumpulan anak muda dari daerah ini menawarkan khidmat pengalaman seram mengikut tema setiap minggu kepada peminat aktiviti tersebut pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Pengunjung akan dibawa menaiki trak kuning tersebut dan melalui kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti pemilik perniagaan untuk pengalaman seram. – UTUSAN










