KUALA LUMPUR: Seorang pensyarah kanan sebuah universiti awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap sembilan pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan bayaran sewa tiga jenis kenderaan trak pikap dan pembelian peralatan geologi berjumlah RM12,488 empat tahun lalu.
Tertuduh Jasmi Hafiz Abdul Aziz, 45, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Mengikut tujuh pertuduhan, Jasmi Hafiz didakwa, dengan niat memperdayakan Jabatan Bendahari, Universiti Malaya (UM) dengan menggunakan tujuh tuntutan perjalanan palsu berkenaan bayaran penyewaan tiga jenis kenderaan iaitu trak pikap jenis Ford Ranger, Toyota Hilux dan Chevrolet Colorado.
Sementara itu, bagi dua lagi pertuduhan, dia telah didakwa memperdayakan Jabatan Bendahari universiti itu dengan memalsukan dua resit pembelian peralatan geologi.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Geologi, Fakulti Sains universiti awam itu antara 29 Mei 2018 hingga 23 Ogos 2019.
Bagi kesemua pertuduhan utama itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, tertuduh juga dibacakan sembilan lagi pertuduhan pilihan iaitu dengan curangnya telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen resit rasmi untuk bayaran sewaan kenderaan pikap dan membeli peralatan sama yang mana tertuduh mempunyai sebab bahawa ia adalah palsu membabitkan jumlah sama.
Bagi kesemua pertuduhan pilihan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 465 kanun yang sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan pilihan itu.
Kes hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abd. Muntaqim Abdul Aziz dan peguam bela, Wan Shahrizal Wan Ladin.
Ketika prosiding, Abd. Muntaqim menawarkan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM, pasport diserahkan kepada mahkamah selain tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Wan Shahrizal kemudian memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan mengemukakan alasan anak guamnya menanggung isteri dan mempunyai seorang anak.
“Tertuduh memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan dan masih lagi berkhidmat sebagai pensyarah,” kata peguam itu.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Hakim Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan syarat-syarat tambahan seperti yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Tarikh 18 Oktober ini ditetapkan sebutan semula kes. –UTUSAN










