Pengawal keselamatan didenda hina Sultan Johor

Pengawal keselamatan didenda hantar komunikasi jelik hina Sultan Johor

SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan didenda berjumlah RM21,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan menghantar komunikasi jelik berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Hakim Nor Hasniah Ab. Razak mengenakan denda RM7,000 terhadap Mohd. Hairol Ahmad, 41, bagi setiap pertuduhan selepas tertuduh mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dikenakan hari ini.

Sekiranya gagal membayar denda, dia boleh dipenjara selama 18 bulan iaitu enam bulan bagi setiap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Mohd. Hairol didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dalam laman sosial Facebook miliknya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Penghantaran itu dilakukan melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Mohammad Khairolmanshur’ antara pukul 10.51 pagi dan pukul 11.01 pagi pada 24 Ogos lalu.

Ketiga-tiga hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini,  pukul 6.13 petang pada hari sama.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam sambil menangis memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana menyesal atas perbuatannya.

“Tolong maafkan saya, saya bertindak emosi dan bodoh semasa berada di rumah hingga memuat naik status jelik tanpa sedar kesan serta betapa serius kesalahan ini.

“Saya merupakan penanggung utama keluarga dan saya sendiri membawa emak saya ke hospital untuk menjalani pembedahan hempedu pada Jumaat ini,” katanya sambil menangis teresak-esak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling mencadangkan hukuman pemenjaraan dan denda yang berat kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius selain ia sebagai iktibar kepada masyarakat. – UTUSAN

ends.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya