Penerima dividen dan ‘orang saham’ patut dikenakan cukai

Penerima dividen dan ‘orang saham’ patut dikenakan cukai

DR. BARJOYAI BARDAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu melakukan penstrukturan semula sistem percukaian negara dengan memasukkan kategori penerima dividen dan ‘orang saham’ bagi memastikan tidak berlaku sebarang ketirisan hasil pendapatan negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, ketika ini ada dua kategori penting yang tidak dikenakan cukai oleh kerajaan.

Katanya, kategori pertama ialah penerima dividen keuntungan syarikat bernilai jutaan ringgit dan kedua ialah ‘orang saham’ yang jana keuntungan di rumah.

“Kita perlu strukturkan semula sistem percukaian, hari ini kita tidak cukai dua kategori penting. Pertama penerima dividen, apabila syarikat dapat keuntungan kena bayar cukai tertentu.

“Tetapi, apabila keuntungan dibayar kepada pemegang saham, mereka tidak dikenakan cukai. Di Malaysia ada kira-kira 50,000 orang tiap-tiap tahun dapat pendapatan melalui dividen.

“Mereka ini, makan duit dividen sahaja dan tidak melakukan aktiviti lain dan jumlahnya juga besar mencecah jutaan ringgit apabila syarikat jana keuntungan berbilion ringgit.

“Mereka ini (penerima dividen keuntungan syarikat), pendapatan yang berjuta-juta tidak dicukai berbanding individu lain yang berpendapatan RM5,000. Adakah ini adil?,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kaedah terbaik untuk negara menambah pendapatan menjelang pembentangan Bajet 2023, 7 Oktober ini.

Mengenai ‘orang saham’, Barjoyai berkata, sama seperti penerima dividen, golongan itu juga tidak dicukai selepas menerima keuntungan dan ia menunjukkan ketidakadilan berlaku dalam sistem percukaian semasa.

“Buat jual beli saham, namun, tidak dikenakan cukai selepas jana keuntungan. Ini merupakan ketidakadilan. Rider, kerja siang dan malam gaji RM5,000 kena cukai tetapi orang jual saham untung beribu dan mencecah juta tetapi tidak dicukai.

“Jika kedua-dua golongan ini dikenakan cukai, saya percaya ia akan menambahkan lagi pendapatan negara dan tidak mustahil ia akan mencecah bilion ringgit juga,” katanya.

Ditanya bagaimana cukai boleh dikenakan terhadap orang kaya yang jana keuntungan melalui saham, Barjoyai berkata, kerajaan harus mengenakan cukai terhadap individu kaya menerusi cukai keuntungan modal.

Mengulas lanjut kenapa kenapa dua golongan berkenaan tidak dikenakan cukai ketika ini, Barjoyai berkata, mereka itu tidak dicukai kerana Malaysia mengikut sistem percukaian Eropah.

“Kalau di Amerika Syarikat (AS), dua golongan ini dikenakan cukai, kita tidak kenakan (cukai) sebab Malaysia ikut sistem percukaian Eropah. Jadi, timbul persoalan, kenapa kita ikut Eropah, sepatutnya kena ikut cara cukai AS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN