ALOR SETAR: Pas Kelantan beranggapan pimpinan parti tu wajar mempertimbang jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri setelah melihat kepada kewibawaan dan integriti pemimpinnya yang bebas rasuah.
Perkara berkenaan ditimbulkan perwakilan dari negeri itu, Mohd. Kamal Mohamed yang juga Ketua Pemuda Pas Kelantan ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Pas ke-68 yang bersambung hari ini.
“Pas jauh daripada perebutan kuasa. Buktinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri yang mengaku Pas tidak pernah meminta jawatan Perdana Menteri atau Timbalan. Pas mempunyai ramai pemimpin yang boleh diketengahkan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri,” katanya di sini.
Katanya, berbeza dengan pemimpin daripada parti lain termasuk dalam Pakatan Harapan (PH), Pas mempunyai integriti tinggi dan bebas rasuah sekali gus menjadikan ia suri teladan terbaik terutama dalam kalangan pengundi muda.
“Untuk anak muda, mereka memerlukan contoh teladan yang baik daripada parti bagaimana anak muda mengidola pemimpin seperti ini. Integriti ini memainkan peranan penting dan kita lihat bagaimana ada pemimpin daripada PH yang terlibat dengan kes rasuah,” katanya.
Pada masa sama, Mohd. Kamal mencadangkan Pas memberi peruntukan tambahan melibatkan pemerkasaan media sosial jentera parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menawan pengundi muda. – UTUSAN