KUALA LUMPUR: Menteri serta ahli politik dinasihatkan supaya tidak bersikap hipokrit dalam menyelesaikan krisis perubahan iklim yang melanda negara.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar berkata, negara harus ada kesediaan mengambil langkah-langkah berani kerana perubahan ekstrem iklim menjejaskan kumpulan berpendapatan rendah.
“Saya cuba untuk melihat isu perubahan iklim lebih dalam dasar dan perbincangan tidak harus menekan hanya pada langkah langkah tetapi masa yang sama pembalakan dan kelulusan projek besar tidak menepati garis panduan sepatutnya.
“Pembalakan memperkayakan sejumlah kecil tetapi memiskinkan dan menyebabkan kemusnahan kehidupan. Apabila luluskan pembalakan di perkampungan Orang Asli, apakah faedah kepada mereka?
“Mungkin ada yang mengatakan dasar yang menentukan bahawa seandainya diluluskan secara peringkat terawal, yang kononnya dijamin, ada faedah dan habuan kepada orang yang menduduki kawasan tersebut,” katanya.
Simposium Perubahan Iklim itu juga dihadiri Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun; Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Simposium Perubahan Iklim 2022, Elizabeth Wong dan beberapa pemimpin daripada pelbagai parti dalam negara.
Dalam ucapan penutup Ahli Parlimen Port Dickson itu menggesa supaya jawatankuasa Parlimen diwujudkan bagi memastikan isu iklim itu dapat dibendung.
“Saya cadangkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk merungkai peranan Malaysia dalam usaha membendung dampak perubahan iklim. Kerjasama menerusi jawatankuasa itu bukan hanya dalam kerajaan, tetapi sesama rakyat, masyarakat, sektor perniagaan dan yang lain.
“Kerajaan tidak ada dana untuk menyelesaikan semua masalah terkait iklim, ini saya harus akui. Tetapi kita boleh membangunkan satu sistem di mana masyarakat diperkasa, sektor perniagaan juga bersama menanggung tanggungjawab dan risiko bersama kerajaan.
“Sebagai individu, kita juga harus soal diri sendiri apa yang kita mampu buat untuk menyumbang ke arah ini. Kita boleh menggerakkan di peringkat tempatan dan negeri, dan kemudian di peringkat wilayah, bekerjasama dengan ASEAN, Kepulauan Pasifik, dan mungkin juga di peringkat global,” katanya. – UTUSAN










