Pemandu Myvi mengaku salah dua pertuduhan berkaitan dadah - Utusan Malaysia

Pemandu Myvi mengaku salah dua pertuduhan berkaitan dadah

MUNZIR Azmeer Abd. Rahim ketika hadir bagi menghadapi dua pertuduhan berkaitan dadah di Mahkamah Majistret Rembau, Rembau hari ini. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang lelaki yang sebelum ini tular videonya memandu kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan khayal pada Jun lalu sehingga menyebabkan kemalangan mengaku salah di Mahkamah Majistret Rembau hari ini atas dua pertuduhan berkaitan dadah.

Munzir Azmeer Abd. Rahim, 28, membuat pengakuan berkenaan selepas dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

Berdasarkan pertuduhan pertama, pada 5 Jun lalu kira-kira pukul 10.25 pagi di dalam sebuah kereta Perodua Myvi, di Kilometer 242.9, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, Munzir Azmeer didapati memiliki tumbuhan kering disyaki dadah jenis kanabis dengan anggaran berat 2.49 gram.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234).

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh sama, kira-kira pukul 11.30 pagi bertempat di Pejabat Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, tertuduh telah memberi kepada dirinya sendiri dadah jenis 11-Nor-Delta-9 Tetrahydrocannabinol-9- Carboxylic-Acid.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng memohon Majistret menjatuhi hukuman yang setimpal dengan mengambil kira kes berkenaan bukanlah kes biasa.

“Tertuduh didapati positif dadah semasa kejadian kemalangan berlaku dan memberi kesan kepada orang yang tidak bersalah,” katanya.

Tertuduh dalam rayuannya pula berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut serta meminta tidak dipenjarakan.

Majistret kemudiannya menjatuhi hukuman denda RM3,200 bagi pertuduhan pertama dan sekiranya gagal bayar, 10 bulan penjara.

Bagi pertuduhan kedua, hukuman denda RM2,800 dikenakan terhadapnya dan sekiranya gagal bayar, lapan bulan penjara. Bagi pertuduhan berkenaan, tertuduh turut dikenakan dua tahun pengawasan oleh Agensi Anti Dadah Kebansaan (AADK).

Pada 6 Jun lalu, media melaporkan seorang pemandu kereta Myvi dipercayai positif dadah hilang kawalan dan terlibat dalam kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di Lebuh Raya Utara Selatan dengan video kejadian tular dalam media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN