Pemandu lori dicekup cuba seleweng diesel bersubsidi

Pemandu lori dicekup cuba seleweng diesel bersubsidi

A. MOGAN menunjukkan lori yang diubah suai untuk mengisi minyak diesel melebihi had pembelian dibenarkan dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Permatang Pauh, Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Tindakan mencurigakan seorang lelaki ketika mengisi diesel ke dalam lori dipandunya membawa padah apabila dia ditahan anggota Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri sebuah stesen minyak di sini, petang semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNHEP negeri, A. Mogan berkata, suspek berusia 40-an itu ditahan kira-kira pukul 6.45 petang selepas dikesan mengisi tangki minyak berkapasiti 20,000 liter yang telah diubah suai di atas lori terbabit.  

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati minyak yang diisi ke dalam tangki asal akan dipam masuk ke dalam tangki tambahan menerusi motor pam.

“Dianggarkan sebanyak 1,810 liter minyak diesel bernilai RM3,892 telah diisi ketika serbuan dijalankan.

“Siasatan awal mendapati, lelaki terbabit perlu mengisi 2,500 liter diesel menggunakan RM5,000 yang diberi majikannya dan perlu menghantar bekalan diesel itu ke sebuah stor di Sungai Dua sebelum menerima upah sebanyak RM200.

“Memandangkan kementerian menetapkan pembelian hanya sebanyak 250 liter diesel sehari, lelaki itu akan mengisi diesel di sepuluh stesen minyak berdekatan dalam lingkungan jarak lima kilometer dan ini adalah stesen keempatnya,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya telah menyita minyak diesel, lori dan tangki minyak yang telah diubah suai itu menjadikan nilai sitaan keseluruhan bernilai RM69,192.70.

“Lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori turut mengaku ini adalah kali pertama dia melakukan kerja sampingan terbabit dan dia turut ditahan untuk siasatan lanjut.

“Terdapat individu lain yang turut menjalankan kegiatan ini dan pemantauan akan dijalankan setiap masa bagi membanteras aktiviti penyelewengan minyak diesel ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya