PADANG RENGAS: Kerajaan Negeri Perak semalam melancarkan Pelan Tindakan Sekuriti Makanan Perak 2022-2030 yang merupakan inisiatif kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dengan kerjasama Institut Darul Ridzuan (IDR).
Pelan tindakan itu merangkumi enam fokus pelaksanaan iaitu mengoptimum sumber dan meningkatkan hasil, memperkasa penggunaan teknologi, pengukuhan tadbir urus, pemerkasaan data dan penyelidikan, pengukuhan kerjasama strategik dan pelaburan serta pemerkasaan ekonomi kitaran.
Langkah itu disifatkan tepat pada masanya bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan untuk keperluan dalam negeri memandangkan penglibatan rakyat negeri berkenaan dalam pertanian dan penternakan rendah.
Kerajaan Negeri Perak mendapati penglibatan rakyat di negeri ini dalam sektor pertanian dan penternakan dilihat masih rendah meskipun terdapat permintaan tinggi bagi produk makanan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berdasarkan statistik, negeri Perak ketika ini kekurangan bekalan daging lembu dan biri-biri apabila hanya 13.6 peratus daging untuk kegunaan dalam negeri dibekalkan oleh penternak lembu manakala 3.3 peratus pula membabitkan penternak biri-biri.
Malah katanya, tanaman halia dan kubis yang dibekalkan petani di Perak juga merekodkan nilai rendah masing-masing sebanyak 0.2 dan dua peratus.
“Penduduk di Perak ini mencecah 2.6 juta orang, kita memerlukan makanan yang mencukupi dan berkualiti.
“Ada banyak ruang dan peluang untuk petani, penternak dan peladang untuk mereka teroka sama ada memulakan projek baharu atau membesarkan projek sedia ada termasuk variasi tanaman seperti halia, kubis dan nanas yang ada permintaan tinggi.
“Saya tidak tahu kenapa orang Perak tidak berminat (pertanian dan penternakan) sedangkan produk makanan itu merupakan keperluan harian mereka,” katanya dalam sidang akhbar sempena Karnival Sekuriti Makanan@Perak Sejahtera 2030 di Dewan Millenium, Lubok Merbau di sini semalam.
Menurut beliau, kerajaan negeri dalam usaha menyakinkan rakyat untuk terlibat dalam bidang pertanian agar dapat bersama mencapai matlamat sebagai hab sekuriti makanan pertama negara.
Katanya, antara langkah diambil adalah menerusi siri jelajah ke seluruh negeri bagi menyampaikan maklumat berkaitan bidang pertanian selain bantuan dan bentuk sokongan yang disediakan kerajaan.
“Kita mahu menyakinkan orang ramai bahawa tidak rugi untuk berbudi kepada tanah, tidak rugi memulakan ternakan ruminan begitu juga penternakan ikan.
“Kita tidak boleh tunggu lama, orang ramai perlu diyakinkan, kita tunjuk bagaimana mereka boleh dibantu. Ini sebagai motivasi kepada mereka bahawa kita bersama mereka dan usaha yang dilakukan itu berbaloi kerana mereka akan menjadi pembekal makanan utama negeri dan negara,” katanya. – UTUSAN