KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan satu laporan telah dibuat pelakon remaja terhadap bapannya semalam kerana diganggu secara seksual serta tidak menjaga kebajikan mangsa.
Laporan berkenaan dibuat oleh pelakon remaja itu sendiri.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan tersebut menyatakan mangsa telah diganggu secara seksual oleh bapa kandungnya semasa mangsa berusia enam tahun.
Kata beliau, mangsa juga sering dipertontonkan dengan video lucah dalam telefon bimbit bapa kandungnya sejak 2013 sehingga 2017.
“Suspek melakukan gangguan seksual tersebut terhadap mangsa apabila ibu mangsa tiada bersama di rumah.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencabul, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 atas kesalahan mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah ,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, kata Wan Azlan, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut supaya tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui Pusat Kawalan Subang Jaya di nombor 03-78627100.
“Orang ramai juga bolej menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Adilah Rosli di talian 016-6873616. Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” jelasnya.
Utusan Malaysia melaporkan polis akan mengambil keterangan seorang pelakon remaja dalam masa terdekat berhubung pendedahannya pernah menjadi mangsa gangguan seksual bapa ketika berusia lima tahun.
Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, selain pelakon remaja berkenaan, turut dipanggil adalah produser laman sosial laman YouTube yang terlibat dalam pendedahan berkenaan.
Terdahulu, pelakon remaja berusia 15 tahun menjadi tetamu jemputan dalam satu program ‘broadcast’ di YouTube baru-baru ini bagi berkongsi tentang kisah hidupnya.
Dalam program itu, remaja berkenaan membuat pendedahan dengan mendakwa menerima gangguan seksual daripada bapanya sendiri ketika kecil selain mendakwa bapanya memperlakukan ibunya dengan teruk.
Susulan pendedahan itu, bapanya membuat di Balai Polis Bandar Baharu, Kedah, kelmarin. – UTUSAN