ARAU: Pertemuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini disifatkan sebagai perkembangan positif dalam usaha menyelamatkan Muafakat Nasional (MN).
Meskipun belum ada sebarang kenyataan daripada kedua-dua belah pihak, usaha itu bagi memberi sinar kepada penyatuan ummah yang sememangnya diperlukan dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Justeru, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menasihatkan semua pihak sama ada daripada Pas dan UMNO supaya mengelak menyerang sesama sendiri sebaliknya melakukan perkara ke arah mengembalikan agenda penyatuan ummah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hashim berkata, seperti yang beliau nyatakan sebelum ini rundingan antara Pas dan UMNO sentiasa berjalan dan usaha ke arah menyelamatkan MN tidak pernah berhenti.
Katanya, kewajipan terhadap penyatuan ummah bukan bergantung kepada parti atau individu tertentu sebaliknya ia adalah tuntutan di dalam agama Islam itu sendiri.
“Semua pihak UMNO, Pas termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), elak melakukan perkara memecahbelahkan agenda penyatuan ummah ini.
“Elak dari segi kata-kata, komen atau kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan.
“Saya yakin, semua pihak sedar kalau kita berpecah ia akan merugikan dan hanya memberi kelebihan kepada pihak lawan. Pas tidak pernah tutup pintu rundingan menyelamatkan MN ini,” katanya.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, pertemuan Ahmad Zahid dan Abdul Hadi yang dikatakan berlangsung Selasa lalu menguatkan cakap-cakap MN dihidupkan kembali bagi mengelakkan pertembungan kedua-dua parti itu dalam PRU15.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan ta’awun, sekali gus tidak bersetuju dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambar- kan BN sebagai musuh pada PRU15.
Piagam MN dimeterai UMNO dan Pas pada 14 September 2019. Ia antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.
Piagam berkenaan ditandatangani kedua-dua presiden parti itu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur dalam Himpunan Penyatuan Ummah.- UTUSAN










