GEORGE TOWN: Pengundi khususnya di Pulau Pinang perlu matang dan bijak membuat keputusan dengan menolak Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) serta tidak mudah terpengaruh dengan slogan-slogan baharu dan janji manis mereka.
Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, tempoh 22 bulan pemerintahan PH sebelum ini menyaksikan negara berada dalam pelbagai polemik serta permasalahan.
“Pas Pulau Pinang menyokong kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Pas menolak khemah besar bersama PH. Oleh itu, pengundi khususnya orang Melayu dan Islam harus membuka mata untuk melihat wajah sebenar dalang yang berselindung di sebalik topeng PH iaitu parti yang menganuti fahaman sosialis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Abdul Hadi berkata, Pas menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan PH berikutan pengalaman persefahamannya sebelum ini dengan beberapa parti yang ada bersamanya.
Abdul Hadi menjelaskan, Pas menolak mudarat politik yang besar dalam PH dan lebih parah kesannya kepada negara dan boleh merobohkan asasnya sehinggakan mematahkan cabang-cabangnya yang penting.
Menurut Muhammad Fauzi, Pulau Pinang yang merupakan nadi utama DAP-PH dilihat menjadi ‘tikus makmal’ kepada pembangunan tidak seimbang yang diterajui parti itu masa ini.
“Pelbagai isu berkaitan projek memberi impak negatif kepada rakyat Pulau Pinang, misalnya tambakan laut selatan pulau Pulau Pinang (PSR). Oleh itu, gagasan penyatuan ummah di Pulau Pinang ini bakal mengorak langkah membawa perubahan setelah hampir tiga dekad diterajui DAP-PH. Tiada yang mustahil jika rakyat Pulau Pinang bersatu hati menyahut seruan penyatuan ummah demi kesejahteraan negeri ini,” katanya. – UTUSAN