Pam minyak tradisional tarikan pelancongan di Dabong - Utusan Malaysia

Pam minyak tradisional tarikan pelancongan di Dabong

SURAYA Abdullah mengisi minyak petrol kepada pelanggannya dengan menggunakan pam minyak tradisional di Dabong, Kuala Krai, Kelantan. - UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Pam minyak tradisional yang perlu dipusing menggunakan tangan untuk menyedut bahan api itu ke balang sebelum dimasukkan ke dalam tangki kereta atau motosikal menjadi salah satu daya tarikan pelancongan di Dabong walaupun sudah lama beroperasi.

Menariknya, perkhidmatan dikendalikan di dalam sebuah kedai kayu yang bersaiz agak kecil serta dilengkapi jendela untuk urusan jual beli petrol menjadi ‘lokasi’ wajib yang perlu disinggah oleh pelancong atau orang luar setiap kali berkunjung ke kawasan itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengusaha Pam Minyak, Suraya Abdullah, 40, berkata, sejak Dabong menjadi popular dalam kalangan pelancong luar, premisnya turut menerima tempias apabila orang ramai tidak melepaskan peluang untuk melihat pam itu secara lebih dekat.

Menurutnya, pelancong luar begitu teruja untuk melihat cara pengendalian pam tersebut yang disifatkan cukup klasik buat mereka khususnya generasi muda.

“Kebanyakan mereka akan mengambil gambar dan merekodkan video untuk dimuat ke aplikasi sosial seperti TikTok. Kaedah mengisi petrol ini agak berbeza dengan stesen minyak kerana ia perlu dipam menggunakan tangan bagi menyedut petrol dari tong simpanan mengikut isipadu yang diinginkan.

“Setelah itu, petrol berkenaan akan disalurkan ke tangki kereta atau motosikal dengan menggunakan paip getah,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Kemubu, Dabong di sini semalam.

Suraya berkata, petrol yang dijual kepada pelanggan itu mengikut harga semasa sebagaimana dilaraskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Katanya, sebanyak 400 liter bekalan minyak sehari akan dihantar bagi menampung permintaan pengguna dan jumlah tersebut mencukupi.

“Setiap hari, saya akan membuka kedai pam minyak ini bermula pukul 11 pagi sehingga ia habis dijual,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya