GUA MUSANG: Lebih 500 penduduk Orang Asli di Kampung Angkek dan Podek di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini, memohon pihak berwajib menaik taraf jambatan gantung di Sungai Betis yang semakin uzur dan rosak.
Penghulu Kampung Angkek dan Podek, Damak Angah berkata, jambatan yang menjadi nadi utama urusan harian penduduk itu dilihat semakin uzur.
“Kira-kira tiga tahun lalu pernah berlaku kejadian penduduk kampung terjatuh ke dalam sungai kerana bahagian pagar dawai jambatan itu semakin rosak.
“Setiap kali menggunakan jambatan ini, hati kami menjadi tidak tenteram apabila memikirkan soal keselamatan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Seorang penduduk, Abu Bakar, 40, memberitahu, kerja-kerja baik pulih perlu segera dilakukan kerana kemudahan itu adalah laluan utama termasuk pelajar sekolah.
Katanya, selain penduduk Kampung Angkek dan Podek ia turut digunakan oleh masyarakat sekitar Taman Sri Galas.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim ketika dihubungi berkata, dia telah mengambil maklum keadaan jambatan tersebut.
Beliau memberi jaminan akan menyelesaikan masalah yang dihadapi termasuklah membaik pulih kerosakan struktur jambatan yang berlaku secepat mungkin. – UTUSAN