OPR naik: DAP desak PM bubar pasukan jihad tangani inflasi - Utusan Malaysia

OPR naik: DAP desak PM bubar pasukan jihad tangani inflasi

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi susulan kenaikan kali ketiga Kadar Dasar Semalaman (OPR) berturut-turut pada tahun ini dengan kenaikan sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.

Ini berikutan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) itu dibuat dengan tujuan utamanya untuk membendung inflasi.

Susulan itu Pengerusinya, Lim Guan Eng berkata, keputusan kenaikan kadar tersebut jelas membuktikannya pasukan yang diketuai Tan Sri Annuar Musa tidak berkesan, tidak cekap dan tidak relevan untuk membendung kenaikan harga.

“Inflasi dilihat oleh BNM sebagai masih cukup serius untuk mewajarkan kenaikan OPR walaupun terdapat risiko yang wujud dalam mengorbankan pertumbuhan ekonomi dan usaha pemulihan Covid-19 bagi separuh kedua tahun ini dan meningkatkan kos pinjaman untuk individu dan perniagaan.

“Menaikkan OPR bererti menafikan secara menyeluruh dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Annuar bahawa inflasi dan kenaikan harga makanan semakin terkawal, sebagai slogan politik semata-mata yang tidak berasas.

“BNM secara tidak langsung mengenepikan usaha anti-inflasi Annuar Musa sebagai tidak memberi sebarang kesan dengan indeks harga pengguna meningkat sebanyak 4.4 peratus pada Julai berbanding 3.4 peratus pada Jun 2022, bulan pertama Annuar dilantik sebagai Pengerusi. 

“Memandangkan BNM kini bergantung kepada pendekatan monetari dengan menaikkan kadar faedah untuk menangani inflasi, maka tidak ada keperluan dan kepentingan untuk mengekalkan Jawatankuasa Khas Kabinet Pasukan Jihad Tangani Inflasi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Pada Jun lalu, kerajaan menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup akibat daripada perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik antara Russia-Ukraine yang memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan serta bahan api. 

Selain Annuar, pasukan khas itu dianggotai Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. 

Selain itu, ia juga dinggotai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Menurut Guan Eng, jawatankuasa khas Kabinet sebegitu hanya akan berperanan sekiranya ia dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri.

“DAP menggesa rakyat Malaysia yang terkesan dengan kenaikan 0.75 peratus OPR tahun ini daripada 1.75 peratus kepada 2.5 peratus untuk menyatakan berapa banyak jumlah tambahan yang mereka perlu bayar bagi pinjaman mereka setiap bulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya