Nostalgia Mentari Korea Raja Ema - Utusan Malaysia

Nostalgia Mentari Korea Raja Ema

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAJA Ema adalah nama yang cukup gah dalam persada industri seni. Dia diminati dan menjadi inspirasi buat ramai peminat yang membesar dengan lagu serta lakonannya.

Berbakat dalam bidang nyanyian, lakonan dan tarian, Raja Ema pernah digelar Puteri Pop negara sekitar era 80-an dengan melahirkan empat album penuh.

Kecantikan semula jadi yang dimilikinya juga membuatkan dia sering terpilih menjadi penghias sampul hadapan majalah.

Penulis berkesempatan menemu bual anak seni ini ketika dia menjayakan sesi latihan bersama Amy Mastura untuk program Salam Dari Maya 2.0 di One Scream Studio, Taman Melawati, baru-baru ini.

Seperti kebiasaan, Raja Ema ceria dan mesra melayan pelbagai soalan yang ‘ditembak’ secara bertubi-tubi kepadanya.

Selain soalan peribadi dan perkembangan terkini, turut diajukan pertanyaan tentang sejarah permulaannya dalam industri seni.

Katanya, dia tidak pernah merancang untuk menjadi penyanyi, malah penglibatannya dalam bidang
seni berlaku secara kebetulan.

“Pada 1984, saya bekerja sebagai penyambut tetamu di Booty Boys Studio. Pihak EMI yang selalu buat rakaman di studio itu menawarkan saya untuk menjadi penyanyi.

“Saya yang ketika itu berumur 15 tahun tidak melepaskan peluang dan menerima pelawaan tersebut.
Pada saya, itu cuma percubaan dan tidak mengharapkan bulan bintang.

“Pada 1985, saya melahirkan album sulung berjudul Volume 1 yang diterbitkan Kesuma Booty, Surya Booty dan Fauzi Marzuki. Sementara itu, Datuk Habsah Hassan, Allahyarham Seri Bayu dan Lukhman S pula terlibat sebagai penulis lirik.

“Lagu Jejaka Idaman, ciptaan Fauzi Marzuki dan lirik oleh Herman Tino merupakan antara yang paling popular pada tahun tersebut,” katanya.

Dalam bidang lakonan pula, Raja Ema pada awalnya ditawarkan untuk berlakon filem Sayang. Filem tersebut turut menampilkan legenda rock tanah air, Amy Search.

Setakat ini, Raja Ema telah berlakon dalam sembilan filem tempatan, selain tujuh filem usaha sama Malaysia dan Indonesia.

 

Menyanyi di Sukan Olimpik

MUNGKIN ramai tidak tahu, ibu dua anak ini merupakan satusatunya penyanyi tempatan yang pernah membuat persembahan di Sukan Olimpik.

Raja Ema menyifatkan pengalaman yang dilaluinya pada tahun 1988 di Seoul, Korea Selatan itu sebagai kenangan paling indah menjadi anak seni.

“Saya bersyukur kerana diberi  peluang merakam lagu Mentari Korea dan menyanyikannya secara live pada temasya itu, 34 tahun lalu.

“Saya bertuah kerana menjadi satu-satunya anak tempatan yang diberi kepercayaan mewakili negara untuk membuat persembahan pada acara sukan yang cukup berprestij itu,” ceritanya.

Dalam keterujaan, Raja Ema sempat mengimbau semula momen indah tersebut yang baginya terlalu manis.

“Saya sibuk menjalani penggambaran di Indonesia ketika diberitahu tentang perkara itu.

“Pada awalnya, saya tolak. Namun, selepas dipujuk, saya terima pelawaan untuk membuat persembahan di Korea Selatan.

“Ia pengalaman yang amat berharga. Saya ambil cuti, terbang ke Korea Selatan dan tinggal di sana selama seminggu,” kongsinya.

 

Pilih berdiam diri

WANITA yang mesra disapa sebagai Kak Ema ini mengakui, perselisihan dengan arwah ibu, Allahyarham Yusni Jaafar merupakan kenangan pahit yang tidak dapat dilupakannya.

“Itu cerita hal dalaman keluarga. Apabila ibu dan ayah tidak sehaluan, sebagai anak, kita tidak menyebelahi mana-mana pihak dan memilih untuk mendiamkan diri.

“Mungkin sebab itu, ibu merajuk hati. Mungkin pada pandangannya, saya seolah-olah tidak menyebelahinya. Walhal, itu bukan perkara sebenar,” katanya.

Kongsinya lagi, dia lebih banyak mendiamkan diri dan tidak mengeluarkan apa-apa maklum balas apabila soalan tentang perkara tersebut diajukan wartawan.

“Saya tidak mahu keruhkan keadaan. Disebabkan itu, apabila ditanya wartawan tentang hal tersebut, saya lebih selesa mendiamkan diri.

“Ia adalah isu yang saya rasakan tidak perlu diheboh-hebohkan. Namun, saya bersyukur, salah faham itu
sempat saya selesaikan sebelum ibu meninggal dunia,” ujarnya.

 

Selesa hidup solo

Bagi Raja Ema, soal jodoh jatuh perkara nombor dua. Katanya, dia bahagia menjalani kehidupan sebagai
ibu tunggal.

“Saya selesa hidup solo. Perkahwinan tidak menjanjikan kebahagiaan. Kalau tidak, kenapa ramai yang bercerai?

“Saya senang hidup sendiri. Bangun pagi tidak perlu pening kepala fikir tentang orang lain. Saya jalani
hidup ikut kemahuan sendiri.

“Anak-anak juga sudah besar dan hubungan kami bertambah erat lebih-lebih lagi selepas Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya, dua cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama bekas suami, Shahrin Salehuddin atau Sheqal iaitu Putera Amar Shaharin dan Putera Al Kashah sentiasa menyokong, malah tidak pernah menghalang untuk dia berkahwin lagi.

“Anak-anak tidak pernah menghalang. Mereka tentunya mengharapkan kebahagiaan untuk saya.

“Mereka benarkan saya berkahwin lagi. Cuma, saya memilih tidak ke arah itu. Saya malas nak fikir.

“Perkahwinan ibarat perjudian. Belum tentu berkekalan. Umur saya sudah 54 tahun, seeloknya biarlah
fikiran saya diisi dengancperkara yang berfaedah,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×