NGO desak kerajaan bantu mangsa sindiket penipuan kerja

NGO desak kerajaan bantu mangsa sindiket penipuan kerja

HISHAMUDDIN Hashim (dua dari kanan) bersama sebahagian waris ahli keluarga berkumpul bagi memohon kerajaan membantu individu warganegara Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara di pekarangan Wisma Putra Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak Kementerian Luar Negeri untuk menyalurkan bantuan segera kepada rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar, Laos dan Kemboja.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kerajaan melalui Wisma Putra turut digesa untuk menghantar wakil-wakil ke negara yang terlibat dalam menyelesaikan isu tersebut secara tuntas.

Ini kerana katanya, sindiket-sindiket yang terlibat dilihat melanggar hak asasi manusia secara jelas juga merupakan salah satu bentuk pemerdagangan manusia yang salah di sisi undang-undang.

“Kes penipuan pekerjaan ini berbeza kerana ahli keluarga mereka tahu di mana keberadaan mangsa namun tiada apa yang dapat dilakukan kerana kita percaya sindiket-sindiket yang terlibat itu dilindungi oleh pihak berkuasa masing-masing.

“Kalau boleh kita jangan berkompromi terutamanya membabitkan wang pampasan terhadap sindiket, kita suarakan melalui platform ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara) kerana negara-negara yang terlibat adalah anggota ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bersama Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM) kepada Kementerian Luar Negeri yang diterima oleh Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Konsular, K. Saravana Kumar, di sini hari ini. 

Hadir sama, Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan dan Pengerusi PPSM, Mohamad Yusof Azmi.

Dalam pada itu, Hishamuddin turut memohon Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk menyekat buat sementara waktu perjalanan membabitkan warganegara berusia 40 tahun dan ke bawah yang ingin menuju ke destinasi membabitkan Kemboja, Laos dan Myanmar.

“Saya mohon kepada Ketua Pengarah Imigresen untuk sekat dahulu buat sementara waktu kerana kita mahu selamatkan mereka yang ada di sana. 

“Ini kerana kita tidak mahu ada lagi mangsa lain yang terpedaya dengan sindiket berkenaan sehingga menjadi mangsa penipuan untuk bekerja secara paksa.

“Kita juga berharap pihak-pihak berkaitan dapat mengetatkan garis panduan perjalanan rakyat Malaysia, sekiranya syarikat berkenaan tidak tersenarai dengan Kementerian Dalam Negeri jangan biarkan mereka keluar negara terutamanya apabila membabitkan negara-negara berkenaan,” ujarnya.

Jelasnya, sindiket tersebut juga dipercayai meminta mangsa yang ingin pulang untuk membawa lima orang rakan lain sebagai sistem pertukaran.

“Mereka yang menjadi mangsa ini kebanyakannya membabitkan golongan muda, ada yang ditipu oleh rakan sendiri dengan tawarkan peluang pekerjaan selepas diugut oleh pihak sindiket,” ujarnya.

Sementara itu, seorang wanita dikenali sebagai Tan, 50, masih berharap anak lelakinya dapat pulang semula ke pangkuan keluarga setelah lebih dua tahun berada di Laos.

Jelas Tan, sehingga kini dia masih dapat berhubung dengan anaknya yang berusia 27 tahun itu, namun tiada apa yang dapat dilakukan untuk membawanya pulang.

“Dia masuk ke Laos melalui jalan laut dari Thailand dan sehingga kini dia sudah berada di bawah empat ejen berlainan setelah dijual akibat tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam tugas yang dilakukan.

“Saya memang dapat hubunginya dan tahu lokasi di mana dia berada tapi apa boleh saya buat? Bagaimana mahu selamatkannya kerana mereka pun sorok-sorok ketika berkomunikasi dengan ahli keluarga,” katanya dalam nada hiba. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN