PETALING JAYA: Kumpulan nelayan meminta kerajaan bukan sahaja memberi subsidi minyak, tetapi juga barangan tangkap ikan dalam pembentangan Bajet 2023 bagi mengurangkan kos yang ditanggung mereka.
Timbalan Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Mohd. Faizal Mohd. Zabri berkata, subsidi minyak tidak membantu nelayan kecil secara menyeluruh.
Menurut beliau, nelayan kecil lebih memerlukan bantuan dari segi subsidi alat tangkap ikan kerana kos untuk membaiki alat-alat tersebut meningkat naik dan hasilnya pula tidak boleh dijual dengan harga tinggi iaitu sesuai dengan kos peralatan.
“Macam kami nelayan pantai, sebuah sampan kami hanya dapat RM18 sehari untuk subsidi minyak. Ini berbanding dengan bot-bot nelayan besar seperti bot pukat jerut dan bot pukat tunda ni mereka ‘makan’ sehingga beratusan ringgit, subsidi mereka sahaja mencecah RM400 sehari sebab ambil beribu liter.
“Sekiranya kerajaan boleh beri subsidi untuk alat-alat tangkap ikan, kemungkinan nelayan belah pantai ni dapat kelebihan daripada subsidi, kira adil dengan apa yang bot besar dapat. Bagi pendapat peribadi saya, nak bagi subsidi minyak tu boleh dan tak bagi pun tidak mengapa sebab ia terlalu sikit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, akhbar melaporkan, Kabinet memutuskan Bajet 2023 yang sepatutnya dibentangkan 28 Oktober dibentang lebih awal iaitu pada 7 Oktober ini.
Susulan itu, pelbagai pihak menuntut bantuan kerajaan supaya mereka boleh kembali stabil selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu serta ditekan dengan keadaan ekonomi yang turun naik
Mohd. Faizal berkata, jika kerajaan ingin meluluskan subsidi alat tangkap ikan, boleh diberi kepada persatuan yang dipertanggungjawabkan dan bukan kepada kedai-kedai menjual peralatan tersebut.
“Subsidikan ia daripada persatuan, sekiranya beri pada semua pun macam tak adil juga. Kadang-kadang ada sesetengah kedai yang diberi subsidi pun mereka tetap menjual barangan dengan harga seolah-olah tidak dapat bantuan,” katanya.
Tambahnya, alat tangkap ikan boleh dikatakan perlu ditukar setiap bulan bagi memastikan nelayan kecil dapat menjalankan aktiviti menangkap ikan tanpa sebarang masalah, tetapi ia menelan kos melebihi RM150.
“Macam saya sendiri pakai pukat senangin, sekarang ni mencecah RM145 untuk satu. Sekiranya koyak dua perlu tukar dua, dahulu harganya hanya RM75 sahaja sekarang ia meningkat terlalu tinggi.
“Bila kita bawa naik ikan, ada pula pihak kata harga ikan terlalu mahal. Mereka tak tahu berapa peningkatan kos yang dialami oleh kami,” jelasnya. – UTUSAN










