POKOK SENA: Kejayaan dua pelajar miskin meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baru-baru ini mendapat perhatian Universiti Utara Malaysia (UUM).
Semalam, universiti itu yang diketuai Naib Canselornya, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah memberi surat tawaran dan biasiswa kepada Muhammad Omar Mokhtar Abdul Rahman, 20, dan Salmah Aminudin, 20.
Haim Hilman berkata, beliau kagum dengan kejayaan kedua-dua bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubur Panjang itu yang mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 walaupun hidup dalam keadaan serba kekurangan serta boleh dijadikan ikon kepada pelajar lain agar tidak melihat masalah kewangan sebagai penghalang untuk berjaya.
“Adalah merugikan jika kedua-dua permata anak bangsa kita ini dibiar tanpa melanjutkan pengajian mereka pada peringkat tertinggi. Oleh itu, kami memberi semangat kepada mereka supaya meneruskan pengajian untuk masa hadapan.
“Melalui kejayaan itu UUM menawarkan tempat kepada mereka serta biasiswa supaya Muhammad Omar Mokhtar dan Salmah dapat meneruskan pengajian jika mereka memilih untuk belajar di UUM,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan ketika berkunjung ke Pokok Sena semalam.
Khamis lalu, Utusan Malaysia melaporkan dua pelajar cemerlang terbabit yang menyuarakan kebimbangan tidak dapat menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda ekoran masalah kewangan dan dokumen pengenalan diri.
Kedua-dua mereka juga beruntung apabila dapat bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Alor Setar pada Jumaat selain menyampaikan bantuan wang tunai.
Sementara itu, Muhammad Omar Mokhtar terharu dengan tawaran itu dan berterima kasih kerana ada pihak yang bersimpati dengan masalah dihadapinya selain menyifatkan kunjungan UUM ke rumahnya itu yang memberi sinar baharu untuk dia meneruskan pengajian sementara menyelesaikan isu MyKad. “Tetapi saya perlu berfikir terlebih dahulu kerana kini terdapat beberapa tawaran daripada institusi pengajian tinggi yang lain,” ujarnya.-UTUSAN










