Nasib 500,000 penoreh terus terbiar

Nasib 500,000 penoreh terus terbiar

penoreh
HARGA getah sekitar RM2.30 ke RM2.40 sekilogram tidak cukup buat penoreh getah menampung kehidupan mereka sekeluarga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Walaupun terdapat enam agensi terlibat secara langsung dalam menguruskan komoditi getah, nasib 500,000 pekebun kecil di seluruh negara yang berhadapan pelbagai masalah tidak banyak berubah.

Ketika ini dua kementerian utama iaitu Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang terlibat dalam mengurus dan menjaga kebajikan pekebun terlibat.

Selain terdapat enam lagi agensi iaitu Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang ditubuhkan pada 1998, Majis Getah Malaysia (2000), Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia (Mardec) (1969), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) (1973), Felcra (1966), Felda (1956) dan Lembaga Industri Getah Sabah (1950).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, agensi-agensi terbabit bukan baru ditubuhkan, malah ada yang wujud sejak sebelum merdeka lagi.

“Saya ambil contoh Mardec, tujuan asal penubuhan untuk membantu membeli, memproses dan pasarkan getah dan memberi harga yang tinggi kepada pekebun kecil/penoreh getah dengan tidak mengorientasikan keuntungan semata-mata.

“Mardec juga dahulunya tidak memberi ruang kepada kilang-kilang getah swasta memonopoli dan menindas harga getah sekerap dalam pembelian di peringkat pekebun kecil dan penoreh getah. Namun ketika ini, langsung tiada perbezaan antara Mardec dan juga kilang swasta,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, seorang penoreh dari Kampung Galok Kecil, Temerloh, Nor Azizah Nordin, 54, berkata, selama 39 tahun mencari rezeki dengan menoreh, ini kali kedua dia berasa cukup terbeban selepas kali pertama pada 2020.

“Pada 2020 lalu, harga komoditi itu jatuh ke pada paras bawah RM2 sekilogram, kini harganya sekitar RM2.20 ke RM2.40 sahaja.

“Sekarang ini harga getah teruk, harga barang pula terlalu mahal di tambah hasil kurang ekoran faktor cuaca tidak menentu ketika ini,” katanya.

Nor Azizah berkata, dia dan suami, Muhamad Izaini Md. Sabudin, 34, menyara keluarga dengan hasil getah namun suaminya ketika ini tidak dapat membantu menoreh kerana menderita sakit jantung kronik.

“Kami berharap sangat-sangat supaya kerajaan dapat menaikkan harga getah antara RM3 hingga RM4 sekilogram,” katanya.

Seorang lagi penoreh, Mat Dilu Selat, 75, berharap harga getah dapat dikembalikan seperti dahulu terutama ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mana ketika itu mencecah sehingga RM9 sekilogram.

“Itulah saat kami dapat merasa kesenangan hidup sebagai penoreh getah namun selepas itu harga semakin menjatuh,” katanya.

Katanya, mungkin agak mustahil untuk mendapatkan kembali harga getah sedemikian namun berharap setidak-tidaknya kerajaan mencari jalan agar harga getah naik sekurang-kurang RM5 sekilogram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN