KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan Malaysia mengeluarkan Surat Sokongan (LOS – Letter of Support) bagi menarik pelabur dan bank yang akan memberikan pinjaman menunjukkan ‘nampak sangat kerajaan kita lemah ketika itu’.
Selain itu, bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd. Desa memberitahu, keputusan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), ketika itu, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah untuk memasukkan dua syarat dalam LOS terbabit juga merupakan satu keputusan yang tidak tepat.
“Tindakan kena keluarkan LOS bagi mengumpulkan dana itu sendiri menunjukkan bahawa kerajaan ketika itu (pada 2013) lemah.
“Saya bergantung kepada arahan KSP dalam menyediakan kertas cadangan berhubung pengumpulan dana tersebut. Bahagian saya tidak pernah membuat sebarang syor kepada Menteri Kewangan tetapi KSP tetap menyuruh saya memprosesnya. Keputusan KSP bukanlah pilihan yang betul kepada negara,” kata Siti Zauyah.
Menurut keterangan saksi sebelum ini, antara opsyen yang dicadangan ialah menerima semua terma yang dikemukakan oleh bank pemberi pinjaman, Goldman Sachs.
Wan Aizuddin: Siapa yang kata perlu masukkan opsyen tersebut?
Siti Zauyah: Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
Wan Aizuddin: Ketua Setiausaha Perbendaharaan paksa awak masukkan opsyen tersebut?
Siti Zauyah: Ya.
Wan Aizuddin: Kenyataan awak yang menyatakan keputusan KSP bukanlah satu pilihan yang tepat adalah pandangan peribadi awak? Siti Zauyah. Ya.
Wan Aizuddin: Adakah tindakannya itu menyebabkan awak rasa kecewa?
Siti Zauyah: Kebimbangan saya ialah pada ketika itu adalah untuk memaklumkan kepadanya (Mohd. Irwan) liabiliti kepada kerajaan.
Wan Aizuddin: Jadi beliau (Mohd. Irwan) tetap mengarahkan awak melakukannya (memsukkan opsyen) walaupun telah dimaklumkan (mengenai liabiliti)?
Siti Zauyah: Ya.
Saksi pendakwaan ke-26 berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela, Wan Aizuddin Wan Wan Mohammed mengenai pengeluaran Surat Sokongan itu bagi mengumpul dana AS$3 bilion bagi tujuan projek usaha sama dengan dengan Aabar (Investments PJS Ltd).
Keterangan itu diberikan dalam pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah dan terlibat dalam pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Perbicaraan bersambung petang ini. – UTUSAN










