ALOR SETAR: Pimpinan tertinggi Pas digesa memuktamadkan dengan lebih awal senarai calon yang akan bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas Perak, Nurhafizul Badrul Hisham berkata, langkah itu bagi mengelak kekalahan seperti dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini apabila calon hanya diumumkan beberapa hari sebelum proses penamaan.
“Jangan lagi dua tiga hari baru ada confirm (pengesahan) jadi calon, baru nak buat (akaun) Facebook, baru nak buat media sosial dia. Lepas habis pilihan raya yang like (suka) baru satu orang,” katanya pada sesi perbahasan Muktamar Pemuda Pas ke-63 di sini, hari ini.
Tambah Nurhafizul, ketika PRN Melaka November tahun lalu, beliau menjaga akaun media sosial calon Pas dan melihat bagaimana akaun Facebook berkenaan tidak mendapat sambutan daripada pengundi.
Justeru, beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Teluk Intan berharap perkara itu dapat dielakkan daripada berulang pada PRU15 atau mana-mana pilihan raya selepas ini.
Pada PRN Melaka, Pas yang bertanding di bawah payung Perikatan Nasional (PN) gagal meraih sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas diletakkan di lapan kerusi.
Keputusan ‘lebih baik’ dicatat Pas pada PRN Johor Mac lalu apabila memenangi satu kerusi tunggal di negeri itu iaitu di DUN Maharani walaupun PN memberi laluan kepada 15 kawasan untuk ditandingi mereka. –UTUSAN











