JOHOR BAHRU: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) perlu mendengar suara akar umbi mengenai permohonan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk menyertai gabungan berkenaan.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir turut mempersoal kejujuran Muda yang hanya membuat keputusan untuk menyertai PH menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan bukannya sebelum ini.
Beliau yang juga Pengarah Strategi PKR berkata, penilaian tentang kemasukan Muda perlu mendapat konsensus semua pihak, termasuk golongan muda.
“Isu penyertaan Muda perlu dinilai seperti proses lain. Kalau Majlis Presiden kata capai konsensus, kita akan terima, tetapi jika tidak capai konsensus, itu juga kita terima.
“Akar umbi di Johor, khususnya di Cabang Johor Bahru telah melalui kesukaran dan dikhianati apabila calon Muda turut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi kami dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan dan meminta pihak berwajib menyelenggara sebuah jejantas yang telah ditutup untuk kegunaan awam di Jalan Tebrau di sini hari ini.
Akmal Nasrullah turut mengakui golongan muda dalam PH telah berjaya menarik minat umum sehingga parti Muda turut berminat untuk menyertai mereka.
“Cuma kami persoalkan ‘timing‘ yang diambil mereka untuk menyatakan hasrat berkenaan. Mengapa sebelum ini tidak menyatakan sedemikian dan sebaliknya hanya sekarang baharu disuarakan. Cabaran menghadapi pilihan raya ini bukanlah boleh dilaksanakan dalam tempoh sebulan dua, tetapi sebaliknya memakan tempoh masa cukup lama untuk dibuat,” jelasnya.
Pada 6 September lalu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan hasrat parti itu untuk menyertai PH secara rasmi yang disambut baik oleh DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), manakala PKR sebaliknya.
Pada PRN Johor lalu, Muda mencalonkan Ketua Penerangan Muda Johor, Rasid Abu Bakar di kerusi DUN Larkin yang turut ditandingi calon PKR, Dr. Zamil Najwah Arbain dan kerusi berkenaan dimenangi Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah. – UTUSAN