PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berkongsi prinsip dan nilai perjuangan yang sama dengan Pakatan Harapan (PH).
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata, persamaan tersebut menjadi pendorong kepada MUDA untuk menyertai PH sebagai antara parti komponen dalam gabungan tersebut bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Malah katanya, tidak timbul soal perebutan kuasa berhubung penyertaan MUDA ke dalam PH.
“Ini bukan soal perebutan kuasa tapi soal membina gabungan yang prihatin rakyat dan bagaimana menyelesaikan masalah rakyat.
“Kami (MUDA) mengangkat politik berbilang bangsa dan agama, dan fokus kepada politik khidmat dan dasar. Dalam bab ini, kita lihat ada persamaan daripada sudut prinsip dan gerak kerja dengan gabungan PH.
“Sebelum ini pun, gerak kerja dalam Parlimen berkenaan siri-siri pembongkaran dan cadangan penyelesaian yang pernah kami selesaikan bersama. Sebab itu kena pastikan ia berasaskan kepada prinsip dan nilai,” katanya di sini, semalam.
Katanya, meskipun hasrat MUDA menyertai PH menerima kritikan dari beberapa pihak dalam pembangkang, namun pihaknya sudah menghantar surat permohonan rasmi kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan meminta semua pihak ‘menghormati proses yang akan dilalui’.
“Kita masih menunggu jawapan daripada pimpinan Pakatan Harapan. Kita perlu hormati proses yang akan dilalui dan kritikan yang disampaikan oleh segelintir pihak perlu kita akui, hormati dan dengari. Kita akan jawab.
“Namun saya ada dua maklum balas terkini. Pertama, Muda telah menghantar surat permohonan secara rasmi pada 9 September, dihantar kepada presiden-presiden parti dalam PH dan juga kepada Pejabat Ketua Pembangkang.
“Kedua, untuk menjawab kritikan yang diketengahkan, saya mencadangkan agar ada satu sesi perbincangan tertutup supaya perkara ini dapat diuruskan dengan baik dan menjawab persoalan yang mungkin ingin diajukan,” katanya.
Pada 6 September, Syed Saddiq mengumumkan hasrat partinya untuk menyertai PH. Pengumumamn itu disambut baik Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, yang dipetik meminta perkara itu dibincangkan pada mesyuarat Majlis Presiden PH seterusnya.
Namun, segelintir dalam PKR berpandangan sebaliknya, dengan Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin menyifatkan MUDA sebagai liabiliti dan menasihatkan pemimpin PH supaya tidak membenarkan parti itu menyertai gabungan.
Ini berikutan penghinaan dan kenyataan angkuh oleh pemimpin MUDA pada pilihan raya negeri (PRN) Johor tahun lepas.
Dalam pada itu, sewaktu menjawab persoalan sama ada MUDA didekati parti atau gabungan politik lain yang menawarkan ruang kerjasama menghadapi PRU15, Syed Saddiq menjawab:
“Itu buat masa ini, saya uruskan secara dalaman. Dan apabila tibanya masa, akan kita umumkan keputusan rasmi.”- UTUSAN










