KUANTAN: Koperasi Makmur Berhad (Ko-Makmur) melancarkan misi memiliki simpanan sehingga 1,000 kilogram (kg) emas dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Makmur Gold, Mohd. Faizuddin Che Mahmood berkata, susulan itu Ko-Makmur bakal menjadi koperasi pertama memiliki simpanan emas tertinggi dan setakat ini telah memperoleh lebih kurang 40 peratus daripada sasaran ditetapkan.
Menurutnya, sasaran itu juga bersandarkan perkembangan industri emas dalam pasaran negara dan dunia kira-kira empat tahun lalu.
“Kita melihat kepada potensi industri emas yang besar dan selepas empat tahun Ko-Makmur menyertai sektor pelaburan emas di Malaysia, banyak pencapaian yang membanggakan telah direkodkan koperasi ini.
“Kita harap dengan sasaran dan melalui pelan jangka panjang ini, kita dapat capai sasaran untuk memiliki simpanan emas sebanyak 1,000 kg dalam tempoh antara dua hingga lima tahun lagi,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat urusan Ko-Makmur di sini hari ini.
Mohd. Faizuddin berkata, terdapat perancangan untuk pertambahan cawangan baharu sehingga ke Sabah dan Sarawak.
“Pembukaan cawangan baharu merupakan sebahagian strategi koperasi ini untuk menguasai industri emas di negara ini.
“Buat masa ini kita sudah memiliki 10 cawangan dan terbaharu di Putrajaya yang bakal beroperasi November ini, seterusnya pembukaan di Kedah, Johor sebelum ke Sabah dan Sarawak. Untuk tempoh lima tahun akan datang, kita komited untuk memastikan kira-kira 30 cawangan dibuka di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN










