MCA realistik berdepan DAP di Pulau Pinang

MCA realistik berdepan DAP di Pulau Pinang

WEE KA SIONG (tengah) ketika merasmikan Bilik Gerakan MCA Parlimen Bayan Baru dan DUN Pantai Jerejak di Persiaran Bukit Jambul, Pulau Pinang semalam sebagai persediaan menghadapi PRU-15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: MCA mengambil sikap realistik dan tidak mahu dilihat terlalu angkuh dalam berdepan dengan DAP di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sehubungan itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, MCA akan menggunakan teori yang pernah digunakan oleh DAP iaitu tidak memberi kemenangan mutlak kepada parti itu ketika PRU itu.

”Kita tidak bersikap angkuh tetapi kita realistik, kalau kita menang cuma di sesuatu kawasan dan belum cukup membentuk kerajaan kita akan jadi pembangkang yang berwibawa.

”DAP ketika menjadi pembangkang dahulu sering berkata jangan beri Barisan Nasional (BN) menang besar,  jadi kita gunakan kembali teori DAP untuk tidak beri kemenangan mutlak kepada mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Persiaran Bukit Jambul, di sini semalam.

Terdahulu, beliau merasmikan Bilik Gerakan MCA Parlimen Bayan Baru dan DUN Pantai Jerejak sebagai persediaan untuk parti itu menghadapi PRU-15.

Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan berkata, secara idealnya semua parti yang bertanding mahukan kemenangan besar dalam pilihan raya, namun bagi MCA perkara itu mahu dilakukan secara berperingkat di Pulau Pinang.

”Saya rasa ada orang kata kerajaan DAP agak kuat di Pulau Pinang kerana kita tidak pernah menang dalam mana-mana kerusi, kalau kita nak menang pun, mungkin bermula di beberapa kawasan.

“Bagi saya ia (menang kerusi Parlimen dan DUN) boleh dianggap sebagai matlamat jangka pendek, sederhana dan jangka panjang.

”Sekiranya kita menjadi pembangkang pun, kita dapat melakukan semak dan imbang yang baik terhadap kerajaan kerana itu juga penting dalam sesebuah negara demokrasi,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang, Ka Siong berkata, secara tradisinya MCA mempunyai satu kerusi Parlimen iaitu kerusi Bayan Baru.

”Oleh kerana Gerakan sudah tidak lagi menjadi parti komponen BN sudah pasti secara logiknya kami akan mengambil alih dan berentap di kerusi-kerusi ini.

”Namun, perkara ini akan dibincangkan dengan UMNO dan sebenarnya perbincangan selalu berlangsung serta tidak menjadi isu kepada kami di dalam BN,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN