KOTA TINGGI: Mayat remaja perempuan yang hilang selepas mandi-manda bersama-sama lima rakannya di Pantai Tanjung Balau di sini, ditemukan pukul 2.37 petang tadi.
Mangsa Nurish Qhalisya Suhailizam, 13, ditemukan kira-kira 50 meter dari lokasi dipercayai hilang dalam keadaan tersangkut di celah batu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian lemas itu pada pukul 9 pagi melibatkan seorang remaja perempuan.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan oleh polis dan dibantu anggota bomba telah melakukan pencarian di permukaan dan dasar air sebelum berjaya menjumpai mangsa pada jarak 50 meter dari kawasan mangsa hilang.
“Mangsa yang ditemukan telah meninggal dunia dipercayai akibat lemas. Mangsa dijumpai dalam keadaan tersangkut pada celah batuan di kawasan pencarian.
“Makluman awal diterima mangsa bersama mereka yang lain sedang riadah dengan ketika kejadian mereka datang ke pantai ini untuk mandi-mandi dan difahamkan telah mendapat izin ahli keluarga untuk ke sini,” katanya kepada media di Pantai Tanjung Balau hari ini.
Pihak keluarga juga telah melakukan pengecaman dan mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Dua lagi mangsa yang tidak sedarkan diri dalam kejadian itu kini sedang dalam pemantauan rapi hospital, manakala tiga lagi mangsa yang selamat dalam keadaan stabil. – UTUSAN
CAPTION
HUSSIN Zamora (dua dari kanan) memantau operasi SAR remaja perempuan yang lemas di Pantai Tanjung Balau.