Maut ketika cuba selamatkan kereta masuk laut - Utusan Malaysia

Maut ketika cuba selamatkan kereta masuk laut

KEADAAN kereta Proton Persona yang menggelosor ke laut yang cuba diselamatkan pemiliknya tetapi berakhir dengan kematian di Pantai Teluk Senangin dekat Lumut malam tadi. - UTUSAN/JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Tindakan seorang lelaki cuba menyelamatkan keretanya daripada masuk ke dalam laut di Pantai Teluk Senangin, Segari, dekat sini, berakhir dengan tragedi apabila lemas malam tadi.

Mangsa, Muhammad Hafiz Ramli, 31, ditemukan lemas di bawah kereta Proton Persona di pantai tersebut dipercayai terjatuh dan terperosok di bawah kereta tersebut selepas cuba menahan kenderaan itu daripada menggelosor masuk ke dalam laut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.34 malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya anggota ke lokasi, didapati sebuah kereta menggelosor masuk ke dalam laut dan dimaklumkan terdapat seorang lelaki terperosok di bawahnya tetapi dikeluarkan orang ramai dan dibawa naik ke pantai sebelum pihak kami tiba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pasukan itu kemudian melakukan tindakan pencegahan keselamatan bagi memastikan tiada bahaya lain yang wujud akibat kejadian itu.

Jelasnya, ia dilakukan dengan melakukan pemeriksaan di dalam kereta dan mencabut kabel bekalan kuasa bateri kereta tersebut.

Beliau memaklumkan pasukan perubatan Hospital Seri Manjung kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hanafi Mohd Rashidi itu tamat sepenuhnya pada pukul 1.45 pagi tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN