SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dialu-alukan untuk kekal bertanding di Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ketua Cabang PKR Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, walaupun belum ada kata putus mengenainya, namun pihaknya tentu masih menagih kewibawaan Presiden PKR itu untuk mempertahankan Parlimen Port Dickson.
“Kami di Port Dickson masih mahu lagi Anwar bertanding di Port Dickson. Walaupun beliau sibuk sebagai ketua pembangkang, Port Dickson sentiasa menjadi keutamaan beliau.
“Terutama ketika pandemik Covid-19, beliau yang paling awal memberikan bantuan komputer tablet kepada pelajar-pelajar selain bantuan barangan dapur yang tidak henti-henti.
“Pastinya, kalau beliau masih di Port Dickson, ia akan berikan kelebihan buat kami di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN). Pengerusi PH bertanding di Negeri Sembilan, tentu akan berikan kelebihan buat kami,” katanya.
Aminuddin berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Bendera Negeri Sembilan kepada Pengurus-pengurus Pasukan ke Temasya Sukan Malaysia (Sukma) Kali Ke-20 di Wisma Negeri di sini hari ini.
Sebelum ini Anwar dilaporkan sedia mempertimbangkan pelawaan PKR Perak untuk bertanding di negeri itu pada PRU15 dengan kerusi yang dicadangkan termasuklah Parlimen Tambun.
Ketua PKR Cabang Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad juga dilaporkan sedia memberi laluan kepada Anwar bertanding kerusi Parlimen itu. – UTUSAN