Benih tembikai RM141,000 diimport dari Taiwan dirampas  - Utusan Malaysia

Benih tembikai RM141,000 diimport dari Taiwan dirampas 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Benih tembikai bernilai lebih RM141,000 berjaya dirampas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam pemeriksaan di Zon Bebas Komersial (FCZ), KLIA Kargo, semalam.

AKPS memaklumkan rampasan dibuat hasil pemeriksaan kira-kira pukul 12 tengah hari ke atas satu kiriman barangan (konsainan) yang didapati mengandungi benih tembikai dipercayai dibawa masuk dari Taiwan.

Katanya, semakan mendapati maklumat pengimportan tidak selaras dengan butiran dikemukakan dalam Permit Import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

“Hasil rampasan membabitkan 49.50 kilogram benih tembikai dengan nilai anggaran keseluruhan RM141,143.15.

“Konsainan berkenaan dipercayai diimport dari Taiwan oleh sebuah syarikat tempatan. Kesemua barangan itu dirampas bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

AKPS memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana disyaki mengemukakan maklumat mengelirukan berkaitan pengimportan.

“AKPS KLIA akan terus memperketat kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk negara bagi memastikan keselamatan biosekuriti serta pematuhan terhadap perundangan yang berkuat kuasa,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN