BALING: Penduduk Kampung Iboi di Kupang yang menjadi mangsa tragedi kepala air dan banjir lumpur dari Gunung Inas berasa lega apabila melihat rumah baharu sedang dibina oleh kerajaan bagi menggantikan kediaman mereka yang lenyap akibat kejadian tersebut 4 Julai lalu.
Rata-rata mereka tidak sabar menduduki rumah baharu di Kampung Keda Sadek itu yang dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini dan lebih penting jauh lebih selamat daripada lokasi asal.
Malah, mereka gembira apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa meninjau kerja-kerja pembinaan rumah itu yang sedang rancak dilakukan ketika berkunjung ke daerah itu, Khamis lalu.
Foziah Aziz, 57, berkata, dia dan suaminya, Ahmad Latif bersyukur apabila mereka akan diberikan sebuah rumah baharu bagi menggantikan rumah lama yang hilang ditelan arus deras akibat banjir dan kepala air.
“Kami tak berani lagi tinggal di kawasan rumah yang hilang itu, bimbang kejadian ngeri itu berulang sekiranya kami mendirikan rumah di situ.
“Buat masa ini saya tinggal menumpang di rumah saudara. Apabila siap rumah baharu nanti, sudah tentu kami dapat bina kehidupan baharu dengan keadaan yang lebih selamat dan selesa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. Mengimbas kejadian pada petang 4 Julai itu, Foziah dan suaminya kebetulan bergerak ke Sungai Petani sekitar pukul 3 petang, sebelum anak mereka, Saiful Anuar Arshad, 35, tiga kali menghubunginya untuk memberitahu rumah dimasuki air.
“Pada awalnya saya anggap sebagai perkara biasa sehinggalah saya cuba hubunginya semula tetapi tiada jawapan, kami terus bergegas pulang ke rumah.
“Anak beritahu ketika kejadian dia cuba membawa ibu saudaranya, Salmah Mat Akhir, 53, yang uzur ke tempat selamat tetapi mereka enggan kerana menyangka air banjir biasa sahaja dan kawasan rumahnya pula tinggi,” katanya yang masih sedih dengan kehilangan sepupunya itu.
Salmah bersama anaknya, Muhamad Khairul Iqwan Nor Azman, 13, dan menantunya, Nurul Hanis Md. Hassan, 23, maut dalam tragedi itu.- UTUSAN










