KUALA LUMPUR: Malaysia komited mengekalkan litupan kawasan berhutan melebihi 50 peratus sebagai salah satu inisiatif pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau rentas ekonomi tanpa syarat.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan telah menetapkan untuk pengurangan sehingga 45 peratus gas rumah hijau berdasarkan Keluaran Dalam Kasar Negara menjelang 2030 seperti ditetapkan di bawah Perjanjian Paris.
Dalam ucapannya ketika Simposium Perubahan Iklim, Tuan Ibrahim menjelaskan kerajaan juga telah mengetengahkan lima inisiatif untuk mencapai sasaran bagi meminimumkan impak perubahan cuaca yang dialami negara.
“Kerajaan telah merencana Pelan Hala Tuju Nationally Determined Contributions dan Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon.
“Bukan itu sahaja, kita menubuhkan Pusat Gas Rumah Kaca (GHG) Kebangsaan untuk memenuhi obligasi pelaporan perubahan iklim antarabangsa dan mengekalkan litupan kawasan berhutan melebihi 50 peratus selaras dengan komitmen negara dalam Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992.
“Selain itu, kita juga telah mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar terus ke tapak pelupusan melalui inisiatif ekonomi kitaran dan meningkatkan kadar kitar semula kepada 40 peratus pada 2025 dan status terkini adalah 31.5 peratus dan menggubal dasar perbandaran dan mobiliti rendah karbon melalui Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara dan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan akan datang,” katanya.
Dalam simposium yang sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, ahli Parlimen memainkan peranan yang sangat penting dalam membina kesedaran dalam krisis iklim di kawasan masing-masing.
“Landskap politik dan sokongan masyarakat wujud untuk mereka menjalankan fungsi teras dalam sistem demokrasi kita.
“Ahli-ahli Parlimen juga perlu melibatkan diri dengan aktif dalam pertubuhan masyarakat sivil berkaitan perubahan iklim dan pembangunan mapan, bantuan kemanusiaan dan bencana termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan belia dan kumpulan pemikir,” katanya.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kerjasama Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Parlimen Malaysia menganjurkan Simposium Perubahan Iklim dengan matlamat merangkul kesemua sendi kepimpinan negara dan juga generasi penerus sebagai upaya mewujudkan rencana dan kebijakan yang tuntas bagi mendepani permasalahan dan dampak perubahan iklim.
Inisiatif itu juga diambil berikutan berlakunya musibah seperti banjir yang melanda sebahagian kawasan di negara pada tahun 2014 dan 2021 sekali gus menunjukkan corak perubahan iklim yang membimbangkan. – UTUSAN










