PETALING JAYA: Sikap ambil mudah dan enggan turun naik mahkamah dalam kalangan waris menjadi punca harta pusaka tidak dituntut sehingga kini mencecah RM90 bilion.
Kelemahan itu bukan sahaja melibatkan waris tetapi juga pemilik harta yang bergantung sepenuhnya kaedah faraid untuk mengagihkan harta pusaka selepas mereka meninggal dunia.
Jumlah RM90 bilion itu pernah didedahkan oleh Utusan Malaysia hasil maklumat daripada rekod Amanah Raya Berhad (ARB) dan 90 peratus daripadanya adalah milik orang Melayu.
Bagaimanapun, realiti yang berlaku sebaliknya apabila semakin banyak harta pusaka ‘terabai’ atau `bermasalah’ disebabkan pemiliknya semasa hidup tidak menguruskan dengan sistematik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Datuk Ikbal Salam berkata, ada waris tidak menyegerakan urusan pembahagian harta pusaka selepas kematian kerana menganggapnya sebagai sesuatu yang amat sensitif untuk dibincangkan sekali gus dicop tamak harta.
Katanya, tindakan tersebut menyebabkan kematian berlapis selepas satu persatu waris meninggal dunia hingga menyaksikan banyak penama hingga wujud pelbagai masalah berantai.
“Misalnya seorang datuk meninggal dunia dan mempunyai lima anak. Namun kegagalan menyegerakan pengagihan harta pusaka itu, akhirnya seorang demi seorang anaknya juga meninggal dunia. Akhirnya dikembalikan kepada cucu atau generasi ketiga untuk menguruskan harta pusaka dan mereka juga berdepan pelbagai masalah kerana ada setuju dan ada yang bantah.
“Justeru umat Islam perlu dibetulkan konsep sebenar harta pusaka. Mereka kena ingat tanggungjawab mereka tidak tamat selepas meninggal dunia, sebaliknya tanggungjawab dan amanah terhadap harta dimiliki juga dipersoal di akhirat kelak.
“Oleh itu, kena urus pengagihan harta sebelum meninggal dunia sama ada melakukan mekanisme hibah atau sebagainya,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, terdapat kira-kira 60,000 permohonan baharu diterima Kementerian Tenaga dan Sumber Asli berkaitan pembahagian pusaka oleh Bahagian Pembahagian Harta Pusaka setiap tahun yang turut menguruskan kes-kes tunggakan sedia ada.
Dalam pada itu, Ikbal menambah antara punca lain harta pusaka beku adalah pengasingan bidang kuasa mahkamah syariah dan sivil sehingga menyebabkan si waris melakukan dua kali kerja iaitu hendak menyelesaikan urusan faraid dan pengesahan wasiat sebelum mendapat perintah mahkamah tinggi.
“Berbanding bukan Islam, mereka hanya lalui satu saluran iaitu ke mahkamah tinggi sahaja. Sebaliknya umat Islam kena dua saluran iaitu mahkamah syariah dan seterusnya mahkamah sivil.
“Justeru itu, saya melihat urusan harta pusaka Islam diletakkan di bawah mahkamah syariah. Namun saya melihat ia memerlukan proses pindaan antara undang-undang dan bidang kuasa mahkamah syariah dan sivil,” katanya.
Sementara itu, Ikbal berkata, sudah tiba masanya institusi kewangan Islam memperkenalkan akad hibah supaya harta tersebut boleh diberi terus kepada penama yang berkenaan.
“Kaedah menyempurnakan akad pemberian semasa pembukaan akaun ini akan dapat mengelakkan wang yang sempurna dihibahkan di dalam akaun tersebut dikategorikan sebagai harta pusaka sehingga perlu melalui proses pembahagian pusaka yang panjang.
“Contohnya, jika seseorang pendeposit itu semasa pembukaan akaun di bank memasuki akad bagi menyatakan bahawa wang di dalam simpanan itu adalah dihibahkan kepada seorang anaknya.
“Maka sewajarnya tiada lagi keperluan melalui proses pembahagian pusaka selepas kematian pemilik manakala wang akaun itu boleh diberikan terus kepada penerima hibah,” jelasnya. – UTUSAN










