Majlis Syura Ulama tentukan isu logo sebelum ke Majlis Tertinggi PN - Utusan Malaysia

Majlis Syura Ulama tentukan isu logo sebelum ke Majlis Tertinggi PN

TUAN Ibrahim Tuan Man beramah mesra dengan pengamal media semasa melawat Pusat Media Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah di Alor Setar, hari ini. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pas akan memperinci cadangan penggunaan logo parti itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi setiap negeri di peringkat Majlis Syura Ulama sebelum dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) untuk diputuskan minggu depan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, selain penggunaan logo bulan itu di tiga negeri di bawah pimpinannya, parti juga akan mempertimbang permintaan Pas di negeri lain yang menyuarakan hasrat sama.

“Parti akan perincikan perkara ini (logo) di peringkat Pas dan akan bawa peringkat Majlis Tertinggi PN untuk dipertimbangkan. Secara asas saya tengok Pengerusi PN berlapang dada untuk mendengar pandangan tersebut sebelum diputuskan dalam mesyuarat itu.

“Selepas usul berkenaan diangkat sebagai keputusan parti, perkara berkenaan akan dicadangkan dalam mesyuarat majlis pimpinan tertinggi PN untuk dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Media Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah di sini hari ini.

Katanya, usul berkenaan tidak dibahaskan dalam muktamar berkenaan ekoran keputusan parti untuk membawanya ke Majlis Syura Pas.

“Ada satu usul kita terima tanpa bahas, namun disebabkan ia berkaitan keputusan parti yang kita perlu bawa ke Majlis Syura, kita ambil keputusan untuk diangkat ke pentadbiran parti yang tak perlu dibahas, sebab cuma perlu dapatkan keputusan Majlis Syura,” katanya.

Pas Selangor menjadi negeri terbaharu mahu bertanding dengan menggunakan logo parti itu pada PRU15.

Cadangan itu dikemukakan oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Noor Najhan Mohamad Salleh ketika tampil membahaskan ucapan dasar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di muktamar tahunan itu semalam.

Sebelum ini, Pas Kelantan, Terengganu dan Kedah bercadang menggunakan logo parti itu di negeri masing-masing pada PRU-15 dan bukannya logo PN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN